Harga Minyak Dijangaka Turun Tengah Malam Ini

Kuala Lumpur – Harga baharu minyak akan diumumkan tengah malam esok sebelum berkuat kuasa pada 12.01 tengah malam, 1 Februari.

 

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata, kerajaan tidak mengumumkan harga baharu komoditi itu lebih awal kerana keputusan tersebut telah diputuskan oleh Kabinet mulai tahun ini.

 

Bagaimanapun, katanya, terpulang kepada hak masing-masing untuk membuat spekulasi tentang harga baharu minyak yang akan diumumkan kerajaan nanti.

 

“Kita akan teruskan begitu sebagaimana yang telah dibuat pada 1 Januari lalu. Dalam masa sama, saya juga tidak boleh menahan mana-mana pihak untuk membuat spekulasi berhubung harga minyak kali ini. Tunggu keputusannya tengah malam esok jika tiada apa-apa masalah,” katanya selepas merasmikan Program Keusahawanan Bumiputera Coolblog di sini hari ini.

 

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas), Datuk Abdul Rahman Ahmad; Pengarah Urusan Perbadanan Nasional Berhad (PNS), Datuk Syed Zainol Khodki Shahabudin; Pengerusi Coolblog merangkap Pengarah Kanan Pelaburan Ekuinas, Nik Johaan Nik Hashim dan Pengarah Universiti Antarabangsa Unitar, Ijlal Nadzir.

 

Pada 1 Januari lalu, kerajaan telah mengumumkan harga minyak RON95 diturunkan sebanyak 35 sen kepada RM1.91. Langkah itu dibuat setelah subsidi minyak dihapuskan pada 1 Disember 2014.

 

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas tentang kenaikan cukai diesel sebanyak 30 sen ekoran penurunan harga minyak, Hasan berkata, pengguna perlu membuat keputusan bijak sebelum membuat sesuatu pembelian.

 

“Ketika harga minyak naik, peniaga bagi alasan mereka tiada pilihan dan kena naikkan harga barang dan apabila minyak turun, mereka senyap. Jadi pengguna kena suarakan di mana silapnya. Di pihak kementerian pula, kita sentiasa bekerjasama rapat dengan pengeluar, pengilang dan peruncit untuk mendapatkan kesefahaman antara kedua-dua pihak sekali gus mewujudkan situasi menang-menang antara pengguna dan peniaga,” katanya.

 

Semalam, Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia (PPIPBM) menyuarakan tentang kenaikan cukai diesel sebanyak 30 sen yang didakwa memberi kesan besar kepada operasi hampir keseluruhan industri berkaitan pengilangan dan logistik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.