Dr Asri Kembali Jawat Jawatan Mufti Perlis

Kuala Lumpur – Akhbar berbahasa Inggeris, The Star, hari ini melaporkan bahawa ulama bebas, Prof. Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin, 44, akan kembali menjawat jawatan sebagai Mufti Perlis berkuatkuasa Isnin ini, buat kali kedua.

 

Dr. Mohd. Asri yang sebelum ini pernah menjawat jawatan tersebut selama dua tahun (2006 hingga 2008) akan mengantikan Dr. Juanda Jaya selepas beliau mengakhiri perkhidmatannya selaku Mufti Perlis akhir tahun lalu.

 

Perlantikan Dr. Mohd. Asri itu menjadikannya satu-satunya mufti yang dilantik sebanyak dua kali untuk jawatan tersebut.

 

Menurut sumber dari Majlis Agama Islam Perlis memberitahu bahawa Dr. Mohd. Asri akan dilantik secara rasmi Ahad ini dan bakal memulakan tugasnya sebagai mufti, Isnin akan datang.

 

Dipercayai perlantikan Dr. Mohd. Asri itu telah mendapat persetujuan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail.

 

Dr. Mohd. Asri atau lebih dikenali sebagai Dr. Maza sebelum ini lantang bersuara mengenai isu-isu tertentu.

 

Pandangan dan kritikan beliau mengenai isu-isu Islam dihormati ramai namun ada yang bertentangan dengan pendapat dari mufti negeri yang berlainan.

 

Dr. Mohd. Asri pemegang PhD dari University of Wales dan Universiti Jordan itu merupakan salah seorang pakar dalam ilmu hadith dan fiqh (perundangan Islam).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.