Video: Wujudkan JPP Di Kelantan, Terengganu dan Faedahnya Mesti Dinikmati Ketua Bahagian PPBM – Abdul Rashid

KUALA LUMPUR – Naib Presiden PPBM, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman menggesa kerajaan PH mengembalikan semula peranan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) di Kelantan dan Terengganu bagi memastikan Ketua Bahagian PPBM di negeri itu mendapat manfaat dan faedah darinya.

“Di Kelantan, saya harap Kelantan, Terengganu balikkan semula jawatan JPP. Mesti dikembalikan semula dan orang kita mesti mentadbir kewangan negeri itu.

“Segala projek pembangunan yang dikawal kerajaan persekutuan perlu disalurkan melalui JPP dan ketua-ketua bahagian (PPBM) mesti mendapat faedah daripada perkara ini,” katanya semasa menggulung ucapan pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) PPBM di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata, dengan cara itu ia dapat memastikan ketua bahagian dan ketua cawangan PPBM mempunyai peruntukan kewangan yang cukup untuk mempertahankan kedudukan masing-masing.

“Kalau tiada kemampuan, kita akan kecundang dan tengok keadaan sekarang ini, ketua-ketua bahagian seperti ditinggalkan begitu sahaja.

“Saya pun ketua bahagian juga. Tetapi saya ini bernasib baik, (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) bagi saya kerja, gaji besar dan ia membuat saya mampu mempertahankan bahagian saya. Dengan cara apa sekalipun, kita mesti menang,” ujarnya lagi seperti dilaporkan BH.

Dalam ucapan yang sama, beliau yang juga bekas Pengerusi SPR turut menggesa kerajaan pusat yang dikuasai PH mengurangkan bantuan kepada negeri-negeri yang tidak menyokong PH.

“Bagi negeri-negeri yang (PH) kalah, jangan putus harap, negeri PAS, Kelantan, Terengganu dan sebagainya, kita kena lawan dia balik.

“Kita tak boleh lawan balik dengan membantu dia untuk memukul kita. tak boleh,” katanya. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.