China Nafi Jalankan Urus Niaga Dengan Korea Utara

BEIJING – China pada Jumaat menafikan laporan bahawa negara itu menjual produk minyak kepada Korea Utara dan melanggar sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), seperti yang didakwa oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.

Beijing sudah menuruti syarat sekatan dengan sepenuhnya, yang bertujuan menghalang kerajaan Kim Jong Un daripada meneruskan penerokaan teknologi nuklear dan peluru berpandu, tegas jurucakap Kementerian Luar China, Hua Chunying.

Pada Jumaat, Trump berang dengan tindakan China menjalankan transaksi tersebut dengan Korea Utara. Kenyataan Trump itu dipetik dari laman Twitter-nya yang menulis “Caught RED HANDED”, lapor Awani

Menurut Trump, janji yang dilontarkan Beijing berhubung sekatan ekonomi ke atas Pyongyang jelas palsu, selepas China didapati masih menjalankan urusan ekonomi melibatkan jual beli minyak dengan Korea Utara.

Diplomat Majlis Keselamatan PBB berkata, China pada Khamis telah menyekat usaha AS dalam pertubuhan dunia itu untuk menyenarai hitam enam buah kapal dagang, yang Washington percayai digunakan untuk berurusan dengan Korea Utara.

“Selama ini saya berlembut dengan China kerana satu-satunya yang lebih penting bagi saya selain perdagangan adalah peperangan.

“Jika mereka membantu saya dengan Korea Utara, saya akan melihat hal perdagangan secara berbeza, untuk tempoh masa tertentu. Itulah yang sedang saya lakukan. Namun, apabila ia melibatkan minyak, saya tidak gembira,” ujar Trump.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.