Mahkamah Pulangkan Sementara Passport Untuk Datuk Vida Tunai Umrah

IPOH — Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan jutawan kosmetik Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau lebih dikenali Datuk Seri Vida mendapatkan sementara pasportnya untuk urusan ke luar negara termasuk menunaikan umrah.

 

Hakim Murtazadi Amran bagaimanapun mengarahkan pemilik dan pengasas Vida Beauty Sdn Bhd itu menyerahkan kembali pasportnya kepada mahkamah selewat-lewatnya 6 Februari.

 

Dalam prosiding sebutan semula kes jutawan kosmetik itu yang menghadapi pertuduhan gagal membayar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) hari ini, peguam yang mewakili Vida, Khairilazwar Khalil ketika mengemukakan permohonan itu memaklumkan anak guamnya akan ke Bangkok, Thailand pada 3 Januari; Guangzhou, China pada 16 hingga 22 Januari serta menunaikan umrah pada 26 Jan hingga 3 Februari.

 

Sementara itu, mahkamah menetapkan 9 dan 10 Mac depan untuk tarikh perbicaraan bagi 16 pertuduhan gagal membayar GST berjumlah kira-kira RM4.2 juta selepas Vida mengekalkan pengakuan tidak bersalah.

 

Jutawan kosmetik itu didakwa melakukan kesalahan itu di Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Bahagian GST, Wisma Kastam, No 1 Jalan Tun Razak di sini sejak April 2015 hingga Julai 2016.

 

Semasa dihadapkan ke mahkamah pada 13 Oktober lalu, Vida mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu mengikut Seksyen 41 (7) Akta GST 2014 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

 

Selain Khairilazwar, Vida turut diwakili peguam Ahmad Syed Abas manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran dan Farah Ezlin Yusop Khan. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.