Wanita Britain Bernama Isis Dihalang Naiki Penerbangan

LONDON — Rani Isis Lake, 29, dari Kent, United Kingdom, mendapat nama tengahnya sempena dewi Mesir purba yang menjadi simbol alam semula jadi dan keajaiban.

 

Sejak kebangkitan kumpulan pengganas Islamic State (IS) yang dahulunya dikenali sebagai Isis, Lake kini mendakwa kesukaran untuk berjalan ke serata dunia akibat berkongsi nama yang serupa.

 

Baru-baru ini, Lake mendakwa tidak dibernarkan membuat tempahan tiket penerbangan ke Kanada, apabila tiket beliau ke Toronto dan Vancouver dibatalkan tiga syarikat tempahan pelancongan, Sunwing, Expedia dan Lastminute.com.

 

“Mereka memaklumkannya melalui kiriman emel bahawa penerbangan saya dibatalkan. Saya hubungi mereka dan minta penjelasan, tapi mereka cuma memohon maaf dan kemudianya mereka pulangkan duit saya,” katanya lapor portal Mail Online kelmarin.

 

Isis berkata, ini merupakan pertama kalinya sekatan dikenakan terhadapnya walaupun pernah ke Kanada sebelum ini bagi tujuan khidmat sukarelawan di negara itu.

 

Kecewa dengan sekatan tersebut, Lake kemudiannya meminta ibunya membeli tiket yang baru menggunakan nama lain beliau: Rani.

 

Sejurus kemudian, pembelian tersebut berjaya dibuat, namun Lake mendapati ia sesuatu yang pelik baginya.

 

“Saya agak marah, ini sesuatu yang sangat tidak masuk akal dan benar-benar tidak adil. Saya tidak mahu menukar nama saya dan saya fikir tidak perlu.

 

“Mereka tidak perlu berbuat seperti itu. Ini adalah diskriminasi,” tegas Lake yang juga seorang chef.

 

Walaupun tiket tersebut berjaya dibeli menerusi ibunya, Lake tetap bimbang sekiranya bakal berdepan masalah yang merumitkan lagi selepas tiba di Kanada.

 

“Saya tidak pasti apa akan berlaku sewaktu saya tiba di lapangan terbang nanti. Saya benar-benar risau, tetapi apa boleh buat, kita tunggu dan lihat sajalah,” jelasnya.

 

Selain Lake, sebelum ini seorang wanita Amerika Syarikat pula berdepan masalah yang hampir sama apabila akaun Facebooknya dipadamkan pihak Facebook gara-gara namanya, Isis Anchalee.

 

IS dikecam seluruh masyarakat antarabangsa kerana sentimen keganasan yang dibawa kumpulan militan tersebut yang telah mengorbankan ribuan nyawa, termasuk umat Islam sendiri. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.