Rumah Ada Lambang Salib Isu Bodoh, Kata Khairy

KUALA LUMPUR — Menteri belia dan sukan mempertikaikan arahan mengecat semula bumbung sebuah taman perumahan di Langkawi atas alasan ia kelihatan seperti “salib.”

 

Dengan melampirkan foto beliau berdiri berlatarkan projek perumahan tersebut di Kelibang, Khairy Jamaluddin pagi ini mengtweet:

 

“Rumah-rumah yang ada ‘salib’ di Langkawi. Kini dicat semula selepas ramai buat kecoh. Kita membazir terlalu banyak masa dengan isu-isu bodoh.”

 

Beliau, yang juga ketua Pemuda Umno, mengulas tindakan Majlis Perbandaran Langkawi berbuat demikian susulan arahan exco kerajaan Kedah beberapa hari lalu.

 

KJ - Isu Rumah Lambang Salib

 

Sabtu lalu, Datuk Tajul Urus Mat Zain memberitahu Malay Mail Online bahawa pemaju diarah mengecat semula bahagian atas bumbung rumah-rumah di situ kerana warna putih kelihatan seumpama salib bagi mengelak kekeliruan.

 

Exco kerajaan negeri itu mengakui isu tersebut tidaklah besar dan warna putih yang berbentuk palang salib itu pula bukan hasrat pemaju, kerajaan Kedah mengeluarkan arahan kerana ia telah menjadi isu besar di media sosial.

 

Akhbar The Star hari ini melaporkan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Langkawi, Abdul Bari Abdullah berkata pemaju projek rumah yang baru disiapkan itu menyerahkan reka bentuk baru dalam tempoh sebulan.

 

Akhbar sama juga melaporkan ruang udara di bahagian bumbung yang memisahkan dua rumah di taman tersebut, yang menghadap laut, telah dicat semula dengan warna atap susulan kontroversi tersebut. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.