Polis Siasat Kes Penipuan Penjualan Telefon Bimbit Di Kota Raya

KUALA LUMPUR – Polis telah membuka dua kertas siasatan berhubung kes penipuan penjualan telefon bimbit di Kompleks Kota Raya di sini susulan laporan mangsa yang terlibat.

 

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajudin Md Isa berkata, seorang penjual telefon bimbit juga telah ditahan dan direman sehingga Rabu bagi membantu siasatan manakala seorang lagi masih dikesan.

 

Mengulas kenyataan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sebuah portal berita yang mempersoalkan mengapa peniaga yang menipu tidak ditahan seolah-olah terdapat komplot yang berlaku, Tajudin berkata polis akan meneruskan dan menyiapkan kertas siasatan untuk dirujuk kepada pihak pendakwaan.

 

“Serbuan pernah dilakukan di kompleks berkenaan pada 27 Mac lalu dengan rampasan sebanyak 500 unit telefon bimbit disyaki palsu.

 

“Saya menegaskan dan menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu dan menjejaskan siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini, Selasa.

 

Pada 20 Disember lepas, sekumpulan individu dipercayai pelanggan dan jurujual telefon bimbit bergaduh di tingkat bawah kompleks beli belah itu dan klip video pergaduhan itu yang berdurasi dua minit 30 saat telah dimuat naik dalam YouTube. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.