Orang Tengah Jual Nama Ustaz Kazim Kaut Untung

KUALA LUMPUR – “Saya tidak pernah tetapkan sebarang bayaran, berapa hendak bagi, terpulanglah kepada tuan-tuan.

 

“Saya sudah berceramah 25 tahun tidak pernah saya menetapkan bayaran, apatah lagi yang melambung sampai RM25,000.

 

“Gilakah saya hendak mengenakan bayaran macam itu? Asalkan lepas minyak dan tol sudah cukup, pernah orang cuma bagi bunga telur, saya hendak buat mcam mana, terima sajalah”.

 

Itu kata pendakwah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias yang menafikan beliau menggenakan bayaran sehingga puluhan ribu ringgit apabila membuat kerja-kerja dakwah menerusi ceramah.

 

Beliau yang lebih mesra dipanggil Ustaz Kazim bagaimanapun meletakkan keadaan itu kepada peranan orang tengah.

 

Menurutnya, pihak terbabit bersedia “memperdayakan” pihak yang berminat menjemput beliau terutamanya ahli politik, dengan mengenakan bayaran sehingga RM25,000 bagi satu ceramah.

 

“Kebanyakan mangsanya ialah Yang Berhormat (YB), orang tengah bagi tahu kepada YB kalau hendakkan saya berceramah, kena bayar sebanyak RM20,000 hingga RM25,000.

 

“YB terpaksa mencari duit berkenaan, selesai saya berceramah, orang tengah itu bagi kepada saya RM2,000. Baki RM18,000 dia masuk poket,” katanya dipetik laporan akhbar Harian Metro, Selasa.

 

Keadaan itu katanya, secara tidak langsung menjejaskan imej beliau sebagai pendakwah terjejas.

 

Sehubungan itu, beliau menyarankan mana-mana pihak yang berminat menjemputnya berceramah supaya berhubung terus dengannya dan tidak menggunakan khidmat orang tengah. – Bnbbc

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.