Mahkamah Rayuan Benarkan Rayuan JAIP, Bapa Mualaf

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan rayuan Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) dan lima yang lain untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi yang memutuskan penukaran agama tiga kanak-kanak oleh bapa mualaf mereka adalah tidak sah.

 

Panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Balia Yusof Wahi memutuskan demikian secara majoriti atas alasan kesahan penukaran agama tiga anak Muhd. Riduan Abdullah adalah di bawah bidang kuasa eksklusif mahkamah syariah.

 

Perayu-perayu terdiri daripada Pengarah JAIP, Pendaftar Pertukaran Agama, kerajaan negeri Perak, Kementerian Pendidikan, kerajaan Malaysia dan mualaf terbabit, Muhd. Riduan yang dahulu dikenali sebagai K. Patmanathan.

 

Keenam-enam perayu memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Sivil Ipoh yang membatalkan sijil penukaran agama Tevi Darsiny, Karan Dinish dan Prasana Diksa dan memutuskan bahawa sijil itu adalah tidak sah.

 

Pada 2009, Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh memberi Muhd. Riduan hak penjagaan ketiga-tiga anaknya itu selepas beliau menukarkan agama mereka kepada Islam.

 

Mahkamah Tinggi Sivil juga mengisytiharkan bahawa perintah hak penjagaan itu adalah tidak sah dan batal kerana Mahkamah Tinggi Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk memberi perintah hak penjagaan apabila pihak lain (ibu) bukan beragama Islam. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.