DAP Jahil Kekejaman Israel Terhadap Rakyat Palestin

KUALA LUMPUR – Tindakan Ketua Biro Pembangunan Ekonomi DAP Perak, Chong Zhemin yang membantah langkah Kementerian Belia dan Sukan menafikan visa dua peserta luncur angin dari Israel membuktikan kejahilan mereka berhubung kekejaman rejim Zionis terhadap rakyat Palestin.

 

Pakar Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Azmi Hassan berkata, Zhemin seharusnya lebih peka dengan situasi sebenar dan tidak mempolitikkan isu berkenaan bagi kepentingan peribadi.

 

Katanya, DAP per­lu meminta maaf kerana telah menggores perasaan rakyat Malaysia yang selama ini memperjuangkan nasib rakyat Palestin yang ditindas oleh rejim Zionis dan juga di atas kejahilan mereka.

 

“Itu adalah isu hak asasi manusia, bukan politik. Zhemin yang sebenarnya mempolitikkan isu tersebut dan menggunakan sebagai satu serangan politik terhadap kerajaan kerana kita lihat secara dasarnya, beliau yang tidak memahami situasi sebenar.

 

“Beliau membantah langkah kerajaan atas alasan politik dan sukan tidak boleh dicampur adukkan membuktikan beliau sebenarnya yang tidak memahami politik dan hak asasi manusia adalah dua perkara berbeza,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

 

Zhemin baru-baru ini berkata, kerajaan tidak seharusnya meng­gu­nakan sentimen politik dan peribadi dalam acara sukan antarabangsa yang dijadualkan berlangsung di Langkawi semalam.

 

Turut senada, Pre­siden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, rakyat perlu membuka mata de­ngan pendirian sebenar Zhemin yang ternyata masih kabur dalam isu Israel.

 

Katanya, sedangkan rakyat negara ini sejak dulu bersatu membantah dalam apa jua cara terhadap kekejaman rejim Zionis.

 

“Rakyat negara ini membidas sekeras-kerasnya kekejaman rejim Zionis ke atas rakyat Palestin.

 

“Jadi sepatutnya tindakan kerajaan tidak membenarkan visa dua atlet Israel itu harus disokong semua pihak sebagai tanda bantahan kita kepada kekejaman Israel,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.