Yoyok Tidak Bertugas Ke Singapura – Ibu Kru QZ8501

Jakarta – Keluarga seorang daripada kru pesawat AirAsia QZ8501 yang hilang pagi semalam, Wismoyo Arie Pambudi atau mesra dipanggil Yoyok terkejut apabila dimaklumkan bahawa lelaki yang berasal dari Klaten, Jawa Tengah itu disebut sebagai kru kabin yang berada dalam pesawat berkenaan sedangkan sebelum itu Yoyok memberitahu sedang bercuti.

Memetik Detik.com, Ibu Yoyok, Sri Sumingsri dikatakan kelihatan terkejut dan tidak bersedia memberi kenyataan kepada media dan terus memantau perkembangan pencarian pesawat yang mana Yoyok bertugas sebagai pramugara.

Salah seorang ahli keluarga Yoyok, Erna Retnowati berkata, pihaknya belum menerima sebarang maklumat dari syarikat penerbangan mengenai pencarian dan nasib kru pesawat.

“Keluarga sudah menghantar data Yoyok yang disimpan di rumah ke pusat krisis yang dibuka di Surabaya,” katanya.

Ahli keluarga lain, Agus Riyanto berkata, Sabtu lalu Yoyok masih menghubungi keluarga melalui khidmat pesanan Blackberry (BBM) mengatakan bahawa esoknya (Ahad) dia bercuti kerana tiada jadual penerbangan.

“Menurut ibunya, Yoyok mengatakan semalam dia bercuti. Saat namanya disebut dalam berita, saya terus menelefon ibu Yoyok untuk mendapatkan penjelasan. Ibu Yoyok juga kehairanan kerana Yoyok mengatakan Ahad itu dia cuti.

“Mungkin dia menggantikan rakannya. Biasanya Yoyok juga mengikuti penerbangan Malaysia atau Thailand, bukan ke Singapura,” katanya. – Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.