Rumah Runtuh, Ibu Hamil Dan Anak Lelaki Maut

Cameron Highlands – Seorang wanita hamil dan anak lelakinya maut manakala suaminya terselamat apabila bukit di belakang rumah yang mereka diami runtuh di Kilometer 46 Jalan Brinchang-Tringkap, Cameron Highlands di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands DSP Wan Zahari Wan Busu berkata M. Nitiahwaty, 24, yang sedang hamil lapan bulan serta anaknya R. Rubeniswaran berusia setahun maut akibat tertimbus tanah manakala suaminya V. Raja, 41, patah kaki kiri dalam kejadian pada 5.30 pagi itu.

Wan Zahari berkata mangsa yang tinggal di sebuah rumah di belakang bengkel kereta tidak sempat menyelamatkan diri melalui pintu bengkel berkenaan.

“Raja bekerja di bengkel kereta itu dan mereka mendiami sebuah rumah haram yang hanya diperbuat daripada kayu dan plastik.

“Ketika kejadian, mangsa cuba menyelamatkan diri tetapi pintu bengkel itu tertutup dan tanah menghempap mereka,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata suami mangsa tertimbus sehingga paras dada namun sempat diselamatkan pihak bomba manakala isteri serta anaknya tidak sempat diselamatkan kerana telah tertimbus.

Wan Zahari berkata kesemua mangsa warga tempatan itu dihantar ke Hospital Sultanah Hajah Kalsom di Tanah Rata.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands Yusry Abdullah Sani berkata suami mangsa diselamatkan pada 7.15 pagi manakala mayat kanak-kanak itu dikeluarkan kira-kira 8 pagi dan mayat ibunya 30 minit kemudian.

“Ketika menyelamatkan mangsa lelaki itu, beliau berada dalam keadaan lemah kerana separuh badannya telah tertimbus manakala isteri dan anaknya ditemui tertimbus,” katanya. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.