Pasaraya Ceria Dipecah Masuk Pencuri Dalam Banjir, Kerugian RM80,000

Kota Bharu – Berikutan banjir buruk yang melanda negeri Kelantan hingga menyebabkan terputus bekalan makanan di kebanyakan tempat, ada beberapa penduduk bertindak memecahkan kedai untuk mendapatkan makanan.

Tinjauan Astro AWANI di beberapa buah kedai termasuk pasaraya di Wakaf Che Yeh dipecah masuk beberapa hari lalu ketika air banjir melimpahi kawasan tersebut.

Menurut Penyelia Pasaraya Ceria, Ti Boon Mai, premisnya dipercayai mula dipecah masuk sekitar Sabtu lalu dan kebanyakan barangan keperluan dan makanan habis dicuri.

“Keadaan dalam kedai tersebut habis barang diambil orang. Banyak barang yang tiada antaranya Milo, susu dan lampin pakai buang. Memang ada orang pecah masuk melalui pintu depan dan belakang yang pecah pada Sabtu sewaktu air masih belum surut.” luah Ti Boon Mai.

Katanya kerugian masih belum dapat dipastikan, namun beliau percaya ianya melebihi RM80,000.

Turut menerima nasib sama, sebuah kedai barangan kesihatan yang berdekatan.

Menurut pemiliknya, Sofian Mohamed kedainya dipercayai mula dipecah masuk ketika air meliputi kawasan Wakaf Che Yeh yang tidak boleh dimasuki oleh kenderaan.

Habis kesemua barangan jualannya termasuk barangan elektrik dicuri.

“Mungkin dipecah masuk oleh orang kerana hampir 90 peratus barangan makanan dan elektrik tiada yang dianggarkan lebih RM90,000.” luah Sofian Mohamed.

Beliau yang tidak menyangka barangan elektrik dan barangan kesihatan turut dicuri menanggung kerugian lebih RM90,000 selain kemusnahan akibat banjir.

Selain kecurian di kedai runcit, pasaraya dan kedai 24 jam, kereta milik mangsa banjir yang dipakir di jalan turut  dirosakkan selain berlaku kecurian kenderaan.

Mangsa banjir yang ditemui di kawasan ini menjelaskan, beberapa buah kenderaan milik penduduk turut dicuri.

Banjir yang melanda Kota Bharu hari ini mulai surut dengan hampir kesemua jalan dalam bandar tersebut boleh dilalui.

Namun kesan lumpur serta sampah sarap  kelihatan di sepanjang jalan selain kemusnahan harta benda.

Banjir yang membawa lumpur memusnahkan barangan perabot, sofa, dan sebagainya selain kerosakan lain yang berlaku.

Hampir kesemua kawasan dalam bandar yang dinaiki air disaluti lumpur.

Sementara itu, Kerajaan Negeri Kelantan dalam satu  kenyataan memaklumkan kerajaan negeri menubuhkan satu Jawatankuasa Task Force Pasca Banjir peringkat negeri yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Jawatankuasa ini akan mendaftarkan mangsa banjir dan membuat penilaian awal kerosakan harta benda yang dialami oleh mangsa banjir.

Selain itu katanya kerajaan negeri juga melancarkan tabung bencana banjir yang dikenali sebagai Tabung Amanah Bencana Banjir Kelantan. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.