Kerajaan Buat ‘Post-Mortem’ Kenal Pasti Punca Banjir

Petaling Jaya – Kerajaan akan membuat ‘post-mortem’ secara mendalam, bagi mengenal pasti punca sebenar banjir luar biasa, khususnya di Pantai Timur, selepas situasi banjir kembali pulih.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kajian itu akan meliputi banyak faktor, termasuk perubahan cuaca, penerokaan dan pencerobohan hutan, penarahan bukit, selain kekurangan infrastruktur mengalihkan air ke laut.

“Nanti selepas banjir (surut), kita buat post-mortem secara mendalam (kenal pasti) punca-punca keadaaan banjir berlaku,” katanya selepas mendengar taklimat penghantaran bantuan banjir ke Pantai Timur, di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, operasi mengangkut hasil sumbangan bantuan banjir berjalan lancar, meskipun terdapat kekangan dari segi aset dan sebagainya.

Katanya, selain tenaga pihak awam, swasta dan anggota tentera, tenaga syarikat penerbangan seperti AirAsia dan Malaysia Airlines Cargo Sdn Bhd (MASkargo) turut digembleng, bagi memastikan semua barangan sampai kepada mangsa banjir mengikut keperluan.

“Saya juga cukup terharu dengan sokongan rakyat, sebab mengikut laporan diterima, banyak barangan dihantar kepada mangsa banjir datang daripada pelbagai pihak di seluruh negara,” katanya.

Muhyiddin berkata, pihaknya dimaklumkan, sehingga kini sebanyak 200 metrik tan bantuan banjir, termasuk bekalan barangan makanan dan minuman dihantar kepada mangsa banjir dari Pangkalan TUDM Subang yang diaktifkan sebagai Pusat Pengumpulan Pembekalan Makanan mangsa banjir yang beroperasi 24 jam.

Beliau berkata, buat masa ini, keutamaan diberikan untuk penghantaran bantuan makanan dan perubatan yang diperlukan hospital di kawasan terlibat banjir dan menurutnya, bantuan pakaian yang disumbangkan pelbagai pihak hanya akan dihantar, selepas keadaan banjir kembali pulih.

Terdahulu, Muhyiddin melawat Pusat Pengumpulan Pembekalan Makanan mangsa banjir di Pangkalan TUDM dan menerima sumbangan bantuan banjir dalam bentuk replika cek berjumlah RM1 juta daripada Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan IJM Corporation Berhad, Datuk Teh Kean Ming.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.