Bukan Hanya Dibantu Ketika Bencana, Mangsa Turut Dibantu Bersihkan Rumah Dan Bantuan Kewangan – Najib

Kuala Kangsar – Mangsa banjir di seluruh negara akan terus dibantu bukan hanya ketika bencana itu berlaku, tetapi juga ketika pasca banjir termasuk membersihkan kediaman dan bantuan kewangan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan akan mengatur langkah yang bersesuaian untuk terus membantu mangsa banjir.

“Kerajaan bantu melalui tiga peringkat iaitu pertama dengan memindahkan serta menempatkan mangsa di pusat pemindahan yang selesa selain memastikan keperluan kesemua mangsa banjir dijaga sebaik mungkin.

“Peringkat seterusnya, kita akan membantu melalui kerjasama kerajaan negeri dengan agensi-agensi berkaitan untuk membersihkan kediaman mangsa yang terjejas dan peringkat terakhir kerajaan akan membantu melalui bantuan kewangan yang akan diputuskan selepas penilaian dibuat selepas bencana banjir selesai,” katanya selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Sayong, di sini hari ini.

Terdahulu Najib yang disertai Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir membuat lawatan dua daerah lain di Perak iaitu di Perak Tengah dan Pasir Salak yang turut terjejas akibat banjir.

Ditanya sama ada kerajaan turut akan memberi bantuan kediaman baru kepada mangsa banjir yang kehilang tempat tinggal terutama di Manek Urai, Kuala Krai, Kelantan, Najib berkata kerajaan akan mempertimbangkan perkara itu.

“Saya sudah melihat gambar-gambar kemusnahan akibat banjir di Kelantan…ada yang hilang terus rumah dan ada yang rumah hanya tinggal tiang kayu serta papan akibat banjir, jika tidak dibantu masa depan mereka pasti kelam.

“Esok saya akan tinjau sendiri keadaan di dua daerah di Kelantan iaitu Kuala Krai dan Gua Musang. Biar saya buat tinjauan serta dapatkan maklumat secara menyeluruh dulu,” katanya.

Sementara itu, Najib turut menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengesan pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan maklumat palsu berhubung bencana banjir yang melanda negara ketika ini dan mengambil tindakan tegas kerana tindakan terbabit menimbulkan kerisauan terhadap rakyat. – Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.