163,000Kg Makanan, Barang Keperluan Dan Ubat-Ubatan Telah Dihantar Kepada Mangsa Banjir Sejak 25 Disember

Kuala Lumpur – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah mengangkut kira-kira 163,000 kilogram bantuan termasuk makanan, barang keperluan dan ubat-ubatan ke negeri-negeri yang dilanda banjir, sejak 25 Disember lalu.

Penghantaran bantuan bekalan itu dibuat seawal 6.30 pagi setiap hari menggunakan pesawat C-130 Hercules.

Penyelaras bantuan bencana banjir di Pangkalan TUDM Subang, Kapten Azley Ahmad berkata, TUDM menjalankan hampir 10 penerbangan ulang alik setiap hari dari pangkalan itu supaya bantuan berkenaan dapat diagihkan kepada mangsa banjir.

“Setiap penerbangan akan membawa hampir 10 atau 11 tan barangan,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin.

Beliau berkata, hampir 70 peratus bantuan di hantar ke 8 Briged Pengkalan Chepa, Kelantan dan bakinya ke Pangkalan Udara Gong Kedak, Terengganu.

Azley berkata, walaupun mengalami kekurangan anggota bagi pengurusan barangan, TUDM mendapat bantuan dan kerjasama pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) dan pelatih program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Sementara itu, Pegawai Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR)  AEON Co (M) Bhd, Anaz Hidayat Muhammed Suhaimi berkata, Yayasan AEON Malaysia telah menyumbangkan makanan dan keperluan bayi bernilai RM100,000.

“Selain itu, 30 sukarelawan kami juga menyumbang tenaga membantu TUDM mengendalikan bantuan di sini,” katanya ketika ditemui Bernama di pangkalan TUDM itu.

Pegawai Hal Ehwal Pelajar, Universiti Pertahanan National Malaysia (UPNM) Mohd Amirulzzaki Razmi berkata, beliau bersama 300 anggota dari Majlis Sukarelawan Universiti-universiti Malaysia (MASKUM) ditugaskan membantu kerja-kerja pembungkusan bekalan makanan yang disumbang oleh pelbagai organisasi sejak 23 Disember lalu.

“Selain itu, kami bersama pelajar UPNM turut membantu TUDM menjaga keselamatan sumbangan-sumbangan yang diterima, terutamanya bekalan makanan,” katanya.

Jumaat lepas, Pangkalan TUDM Subang telah digerakkan sebagai pusat pengumpulan bekalan bantuan untuk mangsa banjir dan beroperasi 24 jam.

Arahan itu dibuat oleh Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin setelah menerima amanat daripada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara.

Badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak yang ingin membuat sumbangan boleh menghubungi terus Pusat Operasi Pertahanan di talian 03-26985414 dan 03-26945434.

 

Sumber : mStar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.