Keputusan Pecat Ahli MPP Selari Perlembagaan Parti, Anwar Tak Perlu Minta Maaf – PKR

PETALING JAYA – PKR mempertahankan keputusan memecat ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Zakaria Abdul Hamid walaupun ditolak oleh timbalan presiden parti itu Mohamed Azmin Ali dan 19 pemimpin tertingginya.

Bercakap kepada FMT, pengarah komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata, keputusan memecat Zakaria, yang merupakan ketua cabang Bera, dibuat oleh jawatankuasa pusat parti susulan syor daripada Lembaga Disiplin PKR.

“Ia bukan keputusan presiden (Anwar Ibrahim). Justeru isu minta maaf oleh presiden tidak timbul,” katanya, ketika diminta mengulas sama ada keputusan memecat Zakaria akan ditarik balik atau sekiranya Anwar akan meminta maaf atas keputusan itu.

Terdahulu hari ini, Azmin dan 19 ahli MPP, termasuk ahli Parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), menolak keputusan memecat Zakaria dengan menyifatkannya sebagai cacat dan tidak sah kerana tidak melalui proses sepatutnya.

Mereka juga meminta Anwar memohon maaf atas “keterlanjuran” keputusan berkenaan yang tidak mendapat sokongan dua pertiga ahli jawatankuasa pusat parti.

Pada Ahad, PKR memaklumkan pemecatan Zakaria dan seorang ahli di Pahang, Ismail Dulhadi, berdasarkan nasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berikutan siasatan ke atas dakwaan rasuah melibatkan mereka berdua.

Zakaria berkata, beliau tidak dimaklumkan mengenai aduan terhadap dirinya yang dibuat kepada Lembaga Disiplin parti, selain mendakwa PKR mengambil tindakan itu tanpa memanggilnya membela diri.

Pemecatan Zakaria mencetuskan perang mulut antara penyokong Azmin dan kumpulan yang menyokong presiden PKR Anwar Ibrahim.

Fahmi berkata, selari dengan perlembagaan PKR, forum terbaik bagi Zakaria ialah dengan membuat rayuan terhadap pemecatan itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!