Anwar Dituntut Mohon Maaf, 20 MPP Diketuai Azmin Tolak Keputusan PKR Pecat Zakaria

PETALING JAYA – Dua puluh ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, diketuai timbalan presiden parti itu Mohamed Azmin Ali, sebulat suara menolak keputusan memecat Zakaria Abdul Hamid sebagai ahli MPP, selain meminta presiden PKR Anwar Ibrahim memohon maaf atas tindakan itu.

Dalam satu kenyataan bersama yang antara lain ditandatangani oleh Azmin; 2 naib presiden parti, Zuraida Kamaruddin dan Tian Chua, mereka menyifatkan pemecatan tersebut sebagai cacat dan tidak sah.

“Kami selaku ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR yang dipilih bagi sesi 2018-2021 dengan ini sebulat suara menolak pemecatan Zakaria Abdul Hamid sebagai ahli MPP seperti diumumkan oleh pengerusi Lembaga Disiplin Ahmad Kassim walaupun syor yang dikemukakan oleh Lembaga Disiplin sendiri hanyalah tunjuk sebab, bukan pemecatan.

“Perkara ini dicapai setelah kami meneliti dan mendapati keputusan memecat beliau adalah dengan alasan yang cacat dan tidak menepati prinsip keadilan iaitu tidak melalui proses sebagaimana harusnya,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, ini diperkuatkan lagi dengan kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengakui kekhilafan mencadangkan PKR mengambil tindakan ke atas 2 ahlinya.

Pada Ahad, Ahmad Kassim mengumumkan pemecatan Zakaria dan seorang lagi ahli PKR Pahang Ismail Dulhadi selepas dipercayai terbabit dengan kes rasuah semasa pemilihan parti itu tahun lepas.

Ketika mengumumkan perkara itu, Ahmad berkata, keputusan tersebut diambil susulan surat daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 23 Oktober yang mencadangkan tindakan diambil ke atas individu terbabit.

Anwar sebelum ini mempertahankan keputusan pemecatan Zakaria.

Bagaimanapun Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi) Azam Baki kemudiannya berkata, badan itu khilaf kerana menghantar surat mencadangkan tindakan tatatrtib diambil ke atas Zakaria dan Ismail.

Beliau berkata, mengikut garis panduan tatatertib yang mesti diikuti oleh SPRM, laporan berkait salah laku hanya dihantar kepada agensi dan kementerian kerajaan persekutuan atau negeri.

Dalam perkembangan sama Zakaria berkata, beliau tidak dimaklumkan mengenai apa-apa aduan terhadap dirinya dibuat kepada Lembaga Disipilin PKR, sekali gus mendakwa parti mengambil tindakan tanpa terlebih dahulu memanggilnya membela diri.

Pemecatan Zakaria mencetuskan perang mulut antara pemimpin PKR yang menyokong Azmin dengan penyokong Anwar.

“Sehingga hari ini Zakaria Abdul Hamid masih merupakan ahli MPP yng sah. Malah makluman pemecatan yang tidak menyebut sebab pemecatan itu juga tidak relevan, apatah lagi untu merayunya,” kata kenyataan itu lagi.

Turut menandatangani kenyataan itu ialah ketua Wanita Hanaiza Mohamed Talha, timbalan ketua Pemuda Hilman Idham, Dr Daroyah Alwi, Amiruddin Shaari, Mohd Rashid Hasnon, Sivarasa Rasiah, Rahimah Majid, Elizabeth Wong, Saifuddin Abdullah, Zakaria Abdul Hamid, Radzlan Jalaluddin, Dr Mansor Othman, Kamaruddin Jaafar, Azmizam Zaman Huri, Gan Pei Nei, Hee Loy Sian and R Santhara Kumar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!