Thailand Sedia Berdepan Malaysia Esok

KUALA LUMPUR – Tonggak pertahanan Thailand, Korrakot Wiriyaudomsiri menjelaskan pasukannya sudah bersedia untuk berdepan segala tekanan daripada puluhan ribu penyokong Harimau Malaya pada aksi separuh akhir pertama Piala AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.

Pertahanan kiri kelab Buriram United itu berkata, persiapan lengkap yang dilakukan skuad Gajah Perang bakal diterjemahkan di atas padang dalam usaha mendapatkan keputusan positif berdepan Harimau Malaya.

Justeru, dia optimis persembahan pasukannya tidak akan mudah terganggu dengan sorakan lebih 80,000 penyokong Harimau Malaya seperti apa yang berlaku ke atas pemain Myanmar pada aksi terakhir Kumpulan A, Sabtu lalu.

“Kami 100 peratus bersedia untuk perlawanan esok dan kami sudah melakukan persiapan rapi untuk perlawanan ini. Saya harap esok akan menjadi hari yang baik untuk kami.

“Kami juga fikir stadium akan dipenuhi dengan penyokong tuan rumah, tapi saya yakin semuanya akan berjalan dengan baik.

“Malaysia antara pasukan terbaik di Asia Tenggara, jadi kami perlu lebih fokus dan sekarang ini masa untuk berehat secukupnya sebelum perlawanan esok,” katanya pada sidang media di Stadium Nasional, hari ini.

Thailand bakal turun dengan status juara bertahan selain meraih keputusan terpuji sepanjang aksi peringkat kumpulan Piala AFF kali ini.

Skuad kendalian Milovan Rajevac itu belum tewas sepanjang empat perlawanan sebelum ini dan aksi malam esok menjadi peluang terbaik untuk Harimau Malaya menamatkan rekod bersih Gajah Perang. – Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.