Tak Patut Kelantan Tolak Pinda Had Umur Kahwin

KUALA LUMPUR – Sisters in Islam (SIS) mendakwa kerajaan negeri Kelantan tidak serius dalam menangani isu perkahwinan bawah umur yang terjadi di situ.

Kata NGO itu perkara tersebut terbukti apabila Kelantan menolak pindaan umur perkahwinan kanak-kanak di negeri tersebut.

“Tindakan ini meletakkan wanita dan kanak-kanak sebagai mangsa keadaan, sekaligus menjadikan Kelantan ketinggalan dalam mengambil langkah proaktif bagi melaksana polisi dan undang-undang yang melindungi wanita dan kanak-kanak,” kata SIS dalam satu kenyataan.

Pada Persidangan Meja Bulat Perkahwinan Bawah Umur Kelantan membuat keputusan tiada keperluan meminda umur minimum pasangan beragama Islam di negeri ini iaitu 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun bagi perempuan yang ditetapkan dalam peruntukan Seksyen 8 Enakmen Keluarga Islam Kelantan 2002.

Kerajaan negeri itu berkata, perkahwinan bawah umur adalah wajar dan selaras dengan hukum syarak malah menjadi satu keperluan di Kelantan.

Mengulas lanjut, SIS berkata perkahwinan bawah umur bertentangan dengan prinsip maqasid syariah dan konsep Rahmatan Lil ‘Alamin yang mengutamakan kebajikan seluruh alam.

“Ia menjadi tanggungjawab kerajaan setempat untuk memberi keadilan dan menentukan hak kanak-kanak dari segi kesihatan, pembelajaran dan perkembangan sosial tidak terganggu oleh faktor-faktor seperti ini,” ujarnya.

Sebelum ini dilaporkan seorang lelaki berusia 41 tahun di Gua Musang mengahwini kanak-kanak 11 tahun sebagai isteri ke-3nya.

Peraih getah, Abdul Karim Che Abdul Hamid berkata dia mendapat restu dari ibu bapa kanak-kanak tersebut dan akan memohon sijil perkahwinan apabila “isterinya” mencapai umur 16 tahun, usia perkahwinan yang dibenarkan undang-undang syariah Malaysia.

Tiga bulan kemudian, masyarakat sekali lagi gembar apabila seorang gadis berusia 15 tahun di Tumpat dilaporkan berkahwin dengan lelaki hampir 3 dekad lebih tua daripadanya.

Ibu bapa gadis itu, yang mempunyai 12 anak lain, berkata mereka merestui perkahwinan anaknya dengan lelaki berusia 44 tahun itu kerana mahu anak mereka memperoleh kehidupan yang lebih baik.-SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.