Punca Utama Rusuhan Kerana Perbalahan Dua Jawatankuasa Kuil, Kata Presiden Hindu Sangam

KUALA LUMPUR – Perbalahan antara dua jawatankuasa dalaman kuil dipercayai menjadi punca utama terjadinya rusuhan di Kuil Maha Mariammam, dekat sini Selasa lalu.

Presiden Malaysia Hindu Sangam, Datuk RS Mohan Shan berkata, dua jawatankuasa itu pernah membawa kes untuk mendapat kuasa menguruskan kuil ke mahkamah beberapa tahun lalu.

Menurut beliau, satu pihak sudah mendapat kuasa dari segi undang-undang untuk me­nguruskan kuil tetapi satu lagi pihak yang tiada kuasa itu tidak bersetuju dan melarang jawatankuasa yang sah untuk masuk ke kuil.

“Pemaju telah berbincang dengan jawatankuasa yang sah sebagai pengurus kuil dan mereka telah bersetuju untuk pindahkan kuil, walau bagaimanapun jawatankuasa yang tiada kuasa ini tidak mahu berpindah dan mahu kekal di tapak sekarang.

“Jadi perselisihan faham antara dua jawatankuasa yang tidak bertanggungjawab terhadap masyarakat ini sebenarnya menjadi punca berlakunya konflik dan rusuhan beberapa hari lalu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Sementara itu, bercakap mengenai saranan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk rumah ibadat mendapat kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum dibina, Mohan Shan berkata, undang-undang itu sudah wujud sejak 1989.

Beliau memberitahu, terdapat satu klausa dalam undang-undang itu bagi penubuhan rumah ibadat bukan Islam perlu merujuk kepada majlis perun­dingan agama.

“Yang jadi masalah adalah kerana tiada badan berkewajipan yang memantau penubuhan rumah-rumah ibadat ini. Kami sendiri tiada kuasa mutlak daripada kerajaan untuk memantau.

“Sebarang isu yang timbul seperti pemindahan tapak kuil sepatutnya boleh rujuk kepada kami untuk menjadi perantara. Apabila bertindak sendiri dan keadaan sudah jadi buruk se­perti sekarang, tidak banyak dapat kami lakukan,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.