‘Orang Tunggu Kamu’, Nukilan Tunang Muhammad Adib Runtun Jiwa Netizen

SHAH ALAM – Nukilan Nurul Najihah Mohd Radzi, tunang kepada Muhammad Adib Mohd Kassim, anggota bomba yang kritikal akibat diserang perusuh dalam insiden Kuil Sri Maha Mariamman beberapa hari lalu, nyata meruntun jiwa netizen.

Mengemas kini status terbaru di Facebook, Nurul Najihah meluahkan isi hati dan menyatakan beliau sentiasa sabar menunggu tunangnya itu kembali pulih seperti sedia kala. 

“Kamu kuat. Org tunggu kamu. Sentiasa ada dgn kamu.. Muhammad Adib,” tulis Nurul Najihah.

Status itu mengundang rasa simpati netizen dengan rata-ratanya memberi kata-kata semangat buat wanita berusia 25 tahun itu agar tabah menghadapi ujian. 

Mereka juga berkata akan sentiasa mendoakan kepulihan Muhammad Adib.

Difahamkan, pasangan yang berasal dari Kedah itu merancang untuk melangsungkan perkahwinan mereka pada 21 Disember ini.

Dalam perkembangan terbaru, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Seri Dr Azhari Yaakub, pagi tadi berkata, Muhammad Adib mula sedar dan faham arahan yang diberikan.

Namun ujarnya keadaan Muhammad Adib masih dikategorikan sebagai kritikal namun stabil.

Muhammad Adib mengalami cedera parah apabila dipukul dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, dalam kejadian pada awal pagi Selasa lalu.

Muhammad Adib, anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya bersama pasukannya tiba di kuil itu selepas mendapat laporan ada kereta terbakar dalam insiden berkenaan.

Dia yang duduk di bahagian penumpang hadapan unit EMRS dikatakan ditarik keluar oleh kumpulan perusuh sebelum dipukul.

Bagaimanapun, mangsa diselamatkan beberapa orang awam yang berada di lokasi kejadian sebelum dibawa ke SJMC untuk rawatan lanjut. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.