NGO Cabar Menteri Jawab Isu Hubungan Dengan Syarikat Pemaju One City

KUALA LUMPUR – Menteri Industri Utama, Teresa Kok hari ini dicabar supaya mendedahkan hubungannya dengan pemaju One City Development Sdn. Bhd.

Ini kerana sejak beberapa lepas, tular di media sosial yang mengaitkan Teresa dengan pemaju berkenaan hinggakan beliau dikecam oleh netizen.

One City adalah pemaju tanah Kuil Sri Maha Mariamman di USJ25.

Lantaran itu, Ketua Setiausaha Jaringan Melayu Malaysia, Hamdan Mohd Salleh berkata, Teresa wajar menjawab kecaman netizan yang mahu mengetahui apakah kepentingan atau pengaruh beliau sebagai Menteri Industri Utama di dalam syarikat dikaitkan.

“Adakah benar Teresa Kok mempunyai hubungan persaudaraan tersebut? Apa yang jelas dakwaan di media sosial bahawa salah seorang daripada Lembaga Pengarah syarikat tersebut adalah anak saudara kepada Teresa Kok. Ini mengukuhkan lagi dakwaan tersebut bahawa Teresa Kok juga mempunyai kepentingan tersendiri dengan syarikat itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Hamdan menambah, Teresa perlu segera membuat laporan polis tentang dakwaan netizen di media sosial.

Laporan polis ini bagi memudahkan polis membuka kertas siasatan tentang kejadian tersebut, begitu juga terdapat unsur jenayah serta wang upahan telah diberikan sehingga menimbulkan kekocahan dan pergaduhan beberapa pihak.

Kata beliau, laporan polis oleh Teresa perlu kerana pihak berkuasa akan mengambil langkah yang perlu di sisi undang-undang terhadap semua atau mana-mana individu yang terlibat di dalam penyebaran serta membocorkan maklumat bahawa terdapat anak saudara Menteri itu dalam syarikat berkenaan.

“Perkara ini amat serius kerana membabitkan tohmahan dan tuduhan kepada pimpinan parti DAP terutamanya Teresa Kok sebagai Menteri Industri Utama.

“Isu yang tular juga mengatakan adakah benar pihak DAP telah membayar sejumlah wang kepada sekumpulan orang Melayu di dalam perkara ini, Terasa Kok juga harus membuat laporan polis tentang perkara ini dan siapakah yang telah membayar orang Melayu,” soal Hamdan.

Tegas beliau lagi, pihak berkuasa terutama Kementerian Dalam Negeri dan polis juga bukan hanya perlu menyiasat beberapa peguam yang terlibat, malah juga perlu menyiasat siapakah Lembaga Pengarah syarikat tersebut. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.