Akta Pampasan Pekerja Bakal Dimansuhkan, Kata Menteri

KUALA LUMPUR – Akta Pampasan Pekerja 1952 yang diguna pakai di negara ini bakal dimansuhkan bagi membolehkan perlindungan sama rata kepada pekerja tempatan dan asing yang bekerja di negara ini.

Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran berkata perkara itu selaras dengan komitmen kerajaan mempertingkatkan perlindungan kepada pekerja-pekerja asing yang kini dilindungi di bawah Skim Pampasan Pekerja Asing di bawah akta berkenaan.

Beliau yang dipetik Bernama menjelaskan, langkah itu juga adalah kehendak konvensi yang telah dipersetujui dengan Pertubuhan Buruh Antarabangsa.

“Ini mustahak kerana kita nak sama-ratakan antara pekerja dalaman dan asing, ini juga adalah kehendak konvensi yang kita telah setuju dengan Pertubuhan Buruh Antarabangsa,” katanya kepada sidang media selepas majlis penutup Mesyuarat Menteri-menteri Buruh ASEAN ke-25 oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas lanjut mengenai keputusan Kabinet meletakkan perlindungan keselamatan sosial pekerja asing di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mulai 1 Jan depan.

Mengulas lanjut, Kula Segaran berkata pemansuhan akta itu adalah supaya penggantian perlindungan keselamatan pekerja asing daripada skim di bawah Akta Pampasan Pekerja 1952 sebelum ini kepada di bawah Perkeso dapat dilaksanakan dan kerajaan mempunyai sistem kawalan perlindungan lebih efisyen.

“Ia akan beri pengetahuan lebih luas kepada kita dalam data, yang mana kita akan dapat tahu berapa pekerja asing pada bila-bila masa dengan serta merta, berapakah pekerja-pekerja asing bekerja, sektor mana mereka bekerja, syarikat mana dan majikan mana.

“Bermakna kita akan tahu juga sama ada majikan mencarum atau tidak, maka kalau dia tidak mencarum maka kita boleh beritahu Imigresen dan polis untuk cari mereka supaya tindakan diambil,” katanya.

Beliau juga berkata dengan proses pemansuhan akta ini sedang berjalan, skim pampasan pekerja asing ini tidak lagi diaktifkan untuk pembaharuan dan pendaftaran baharu. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.