ADUN BN Perak Sedia Dipanggil Polis, Dakwa Ada Bukti Kukuh Wujud Gerakan Jatuhkan MB

IPOH – ‘Kami tak takut,’ demikian kata 25 ADUN BN Perak yang bersedia memberi kerjasama kepada pihak polis sekiranya diperlukan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan wujudnya gerakan menjatuhkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Menurut Ketua Pembangkangnya, Datuk Saarani Mohamad, kesediaan itu berlandaskan fakta dan bukti kukuh mengenai wujudnya gerakan tersebut.

“Ini bukan isu main-main, kalau buat laporan polis, janganlah pula terkejut apabila laporan polis itu nanti terkena kepada seorang daripada orang mereka (PH).

“Sudah tentu polis akan ambil tindakan terhadap orang yang berkenaan dan akan dipanggil polis dan kena mengaku apa yang dibuat, jadi jangalah beranggapan dengan laporan polis itu kami akan berhenti bercakap.

“Kami bersedia untuk bercakap, kami sekarang pembangkang, apa yang perlu ditakutkan,” katanya dipetik Sinar Harian.

Pada Rabu, Ahli Parlimen Batu Gajah  yang juga Ketua Sekretariat PH Perak, V Sivakumar membuat laporan polis mengenai dakwaan tersebut.

Sivakumar membuat laporan itu di Balai Polis Dang Wangi agar satu siasatan menyeluruh dijalankan bagi memastikan usaha menjatuhkan kerajaan pilihan rakyat tidak berulang sekali lagi di Perak.

Mengulas lanjut, Saarani berkata, meskipun isu telah dibangkitkan, sehingga kini individu iaitu exco yang dimaksudkan beliau masih berusaha memujuk ADUN BN meneruskan usaha menjatuhkan menteri besar.

Dalam pada itu katanya, pimpinan PH tidak sewajarnya memutarbelitkan isu itu dengan menampakkan ia sengaja dimainkan pembangkang untuk kucar-kacirkan pentadbiran kerajaan sedangkan yang berantakan adalah kalangan pimpinan PH sendiri.

“Jangan pula kerana mereka yang buat hal (cuba menjatuhkan MB), kami pula yang diburukkan, itu tak betul.

“Sivakumar yang juga Ahli Parlimen Batu Gajah sudah pun membuat laporan polis… cuma menariknya laporan polis (dibuat) di KL (Kuala Lumpur), jadi kita bersedia menunggu bila polis akan jemput untuk hadir beri keterangan.

“Cuma saya kena ingatkan Sivakumar, bila buat laporan polis dia kena sedia tanggung risiko atas perbuatannya,” katanya lagi. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.