Zarul ‘Berguru’ Dengan Dua Jelitawan

KUALA LUMPUR: Peluang berganding dengan dua pelakon jelita hebat iaitu Fasha Sandha dan Siti Elizad dalam projek drama rantaian cukup mengujakan penyanyi Zarul Husin.

Zarul yang semakin aktif berlakon selepas menyertai musim ketiga Gegar Vaganza (GV3), mengambil peluang ‘berguru’ dengan Fasha dan Elizad di lokasi drama Syurga Yang Kedua arahan Bahri Uma dan Zamri Zakaria.

“Mereka memang hebat dan banyak berkongsi tip serta pengalaman masing-masing.

“Saya amat bertuah bekerja dalam produksi drama ini. Selain Fasha dan Elizad, ada ramai lagi pelakon hebat seperti Azizah Mahzan, Beego, Datuk Jalaludin Hassan dan Fazlina Ahmad Daud.

“Banyak yang saya belajar daripada mereka. Selepas habis GV3, jujur dikatakan saya tak pernah terlintas menjadi pelakon apatah lagi diberi peluang sebagai hero,” katanya kepada BH Online.

Zarul atau nama sebenarnya, Zairulkefli Husin tidak malu berkongsi rasa bagai bermimpi dapat membintangi drama rantaian 70 episod itu.

“Namun, saya anggap semua ini sebagai rezeki untuk keluarga dan pengurusan saya,” katanya.

Tambah bekas vokalis kumpulan Umbrella itu, drama Syurga Yang Kedua memberi 1,001 cabaran buatnya.

“Apa yang istimewa, dua heroin saya dalam drama ini iaitu Fasha dan Elizad masing-masing mempunyai karakter berbeza,” katanya.

Zarul memulakan penggambaran drama Syurga Yang Kedua sejak 5 Ogos lalu dan dijangka berakhir pertengahan bulan depan. Drama itu akan disiarkan Astro Prima dan Maya HD pada 12 Disember depan.

Mengenai dunia nyanyian, bapa kepada Ayu Nur Arisya ini memberitahu, aktiviti masih seperti biasa.

“Ada projek terbaharu dalam nyanyian tapi belum dapat didedahkan lagi. Insya-Allah, Januari depan kita adakan sidang media mengumumkannya,” katanya.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.