Terima Kasih Malaysia – Harris Baba

BIARPUN kariernya mula bercambah di Singapura, namun penyanyi dan pelakon kelahiran republik itu, Harris Baba tetap menganggap Malaysia sebagai platform terbaiknya untuk mengembangkan bakat.

Menurut Harris atau nama lengkapnya, Khawaja Mohammad Harris Baba, karyawan seni di sini sentiasa bersifat terbuka dan kerap memberikan peluang kepadanya tanpa prejudis.

Hal ini dibuktikan menerusi debut Harris di layar kaca sebagai seorang pelakon menerusi telefilem berjudul Alien Planet Cinta sekitar dua tahun lalu.

“Saya agak terkejut apabila diberi peluang sebesar itu dalam dunia lakonan. Maklumlah, saya tidak pandai bertutur dalam bahasa Melayu dan hanya mempunyai pengalaman yang sedikit dalam bidang lakonan.

“Kesungguhan pengarah untuk memberi tunjuk ajar sepanjang proses penggambaran membuatkan saya tersedar bahawa orang-orang di Malaysia lebih menghargai bakat yang ada pada saya,” katanya memulakan bicara.

Menurut Harris, layanan seperti itu tidak pernah diterima sepanjang cuba untuk bergelar anak seni di negara kelahiran sendiri.

“Walaupun saya fasih berbahasa Inggeris, produser drama di Singapura dilihat kurang percaya dengan bakat yang dimiliki. Jika ada tawaran sekalipun, saya diberikan watak-watak kecil yang menjadi penyendal untuk drama terbitan mereka.

“Disebabkan itu, saya berasa bangga mengatakan bahawa Malaysia yang banyak membuka pintu dan memberi peluang seadanya kepada saya. Terima kasih Malaysia,” tutur Harris lagi.

Muzik
Kerjaya seninya di Malaysia berkembang dengan agak kencang selepas menerima tawaran untuk bernaung bawah label muzik milik penyanyi Faizal Tahir, Faithful Music.

Single perdana, Katakan tidak hanya memperkenalkan nama Harris sebagai penyanyi, tetapi turut memberi peluang kepadanya untuk meneroka pasaran muzik di Malaysia.

“Disebabkan lagu tersebut, saya dikenali di sini. Saya tidaklah popular tetapi sekurang-kurangnya khalayak tahu siapa saya,” katanya.

Dalam perkembangan terkini, selain sedang menerima beberapa tawaran lakonan, lelaki berusia 26 tahun itu sedang sibuk mempromosikan single keduanya, Parah.

Biarpun masih mengekalkan Faizal Tahir sebagai komposer, Harris berkata, lagu tersebut berjaya membawanya keluar dari kepompong selesa.

“Parah merupakan sebuah lagu yang sedikit berbeza jika dibandingkan dengan Katakan. Ia ditulis dengan komposisi muzik rancak yang sekali gus dapat mencabar keupayaan vokal saya.

“Tambahan pula, lagu ini turut disuntik elemen muzik India, sesuai dengan darah Pakistan-Iran yang saya warisi daripada sebelah bapa. Bagi saya, ia sangat istimewa,” katanya lagi yang mengimpikan untuk berkolaborasi dengan penerbit muzik dari Indonesia suatu hari nanti.

Melihat komen-komen yang ditinggalkan peminat di laman sosial mengenai Parah, suara Harris dikatakan mirip vokal nyanyian Faizal Tahir terutama apabila menyanyikan bahagian korus lagu tersebut.

Menyedari perkara tersebut, Harris tidak kisah disamakan dengan idolanya. asalkan dia sendiri tahu bagaimana cara nyanyiannya yang sebenar.

“Saya tidak kisah disamakan dengan Faizal Tahir kerana percaya gaya nyanyian dalam Parah adalah gaya nyanyian saya.

“Asalkan peminat menerima lagu tersebut dengan baik, itu sudah memadai,” katanya.

Kemalangan
Membawa perbualan memasuki kisah peribadi, sekitar hujung Oktober lalu, anak perempuan Harris, Aleena Zeya yang berusia sembilan bulan mengalami kes melecur tahap dua pada bahagian kiri muka dan tangan akibat ditimpa penutup lampu panas.

Kejadian berlaku ketika Harris membawa anaknya berkunjung ke sebuah butik jenama antarabangsa di The Gardens, Mid Valley, Kuala Lumpur.

Sehubungan daripada insiden tersebut, Harris menerusi Instagramnya mengatakan mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap butik berkenaan agar perkara yang sama tidak berulang kembali.

Ditanya mengenai perkembangan kes berkenaan Harris menjelaskan bahawa dia masih meneruskan niatnya dan urusan tersebut bakal dikelolakan oleh peguam yang dilantik.

“Sejujurnya, saya tidak boleh menyalahkan pekerja di butik berkenaan. Mereka tidak tahu apa-apa kerana ia terjadi akibat kelalaian kontraktor yang memasang lampu berkenaan.

“Jadi, tindakan undang-undang ini dibuat ke atas pihak butik agar mereka lebih berwaspada dalam berurusan dengan kontraktor pembinaan pada masa akan datang,” tegasnya.

Dalam pada itu, Aleena kini dalam keadaan sihat dan masih menjalani rawatan susulan seperti yang dinasihatkan doktor.

“Alhamdulillah, anak saya berada dalam keadaan sihat dan kami masih menunggu lukanya untuk kering sebelum meneruskan rawatan susulan,” ucap Harris.

Melihat pada kecederaan yang dialami oleh puteri kesayangan, Harris berkata, dia dan isterinya, Nik Naziha Zawawi sedikit trauma apabila mahu membawa Aleena keluar berjalan-jalan.

Bagaimanapun, peristiwa sedemikian tidak menghalang Harris untuk kembali dan membeli belah di butik berkenaan pada masa akan datang.

“Benar, anak saya mengalami cedera yang agak teruk tetapi kami masih tetap akan ke butik itu untuk berbelanja. Barangkali, kami hanya pergi berdua tanpa Aleena,” tutup Harris.-Kosmo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.