Shuib Habis Kontrak, Isteri Sakit

KUALA LUMPUR: Sejak pagi tadi, topik mengenai perkembangan terbaharu pelawak dan penyampai radio, Shuib hangat diperkatakan netizen.

Semuanya gara-gara perkongsian Shuib melalui Instagram Live mengenai keadaan isterinya, Siti Sarah Raisuddin yang dikejarkan ke hospital malam tadi, akibat tekanan darah rendah.

Shuib atau nama penuhnya, Shahmira Muhamad memberitahu, keadaan isterinya makin stabil.

“Terima kasih kepada semua yang mendoakan Sarah. Malam tadi, keadaan dia sangat membimbangkan.

“Tapi pagi ini sudah okay… Alhamdulillah, dia sudah stabil. Mujur selamat sempat tiba di hospital. Kalau tak, tak tahulah apa akan jadi.

“Tekanan darahnya turun pada tahap yang membimbangkan,” katanya kepada BH Online.

Tidak cukup dengan berita mencemaskan itu, Shuib juga berkongsi ini adalah hari terakhir dia menjadi penyampai stesen radio Sinar FM

“Sepatutnya, saya berada di konti pagi ini tapi kena jaga isteri, tak dapatlah (bekerja).

“Selepas dua tahun saya mengambil keputusan untuk memberi tumpuan kepada dunia seni dan perniagaan. Saya harus buat keputusan ini demi tuntutan kerja dan kekangan masa,” katanya.

Shuib berkata, dia mula bertugas di stesen radio itu pada 30 November 2015.

“Saya memang sayangkan Sinar FM. Menjadi penyampai radio juga satu penghormatan besar buat saya.

“Terima kasih kepada pihak Sinar FM atas bimbingan dan sokongan selama ini. Daripada saya tidak pandai bercakap dan bercoleteh, perlahan demi perlahan saya mula menguasainya.

“Saya harap peminat akan terus menyokong Sinar FM dan teman-teman lain,” katanya.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.