PM Rasmi UTC Negeri Sembilan

SEREMBAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini merasmikan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Negeri Sembilan di Ampangan di sini.

Majlis perasmian turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan, Tan Sri Irwan Siregar Abdullah dan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Awaludin Said.

UTC yang ke-20 di negara ini terletak di Jalan Seremban-Kuala Pilah beroperasi dari jam 8.30 pagi hingga 10 malam setiap hari, kecuali cuti umum.

Bangunan tiga tingkat itu menempatkan 18 agensi kerajaan dan swasta antaranya Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan.

Agensi lain ialah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, Lembaga Tabung Haji, Majlis Amanah Rakyat, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Kementerian Belia dan Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd.

UTC Ampangan mula beroperasi pada 20 November lalu.

Sementara itu, Najib berkata, perkhidmatan seperti yang disediakan di UTC hasil usaha kerajaan setakat ini tidak mampu dilaksanakan di mana-mana negara lain.

“Saya pergi (melawat), saya tanya dengan rakan-rakan (sejawat) yang lain…tak ada.

“Sebab UTC ini buka sehingga pukul 10 malam tiap-tiap hari kecuali cuti umum sahaja, dan inilah satu daripada tarikannya… satunya bawah satu bumbung, keduanya buka sampailah lewat malam, ” katanya.

UTC Negeri Sembilan merupakan UTC ke-20 yang dibangunkan menelan belanja RM34.26 juta dan mengambil masa tiga bulan untuk disiapkan menggunakan bangunan sedia ada. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.