Pejabat MB Selangor Sahkan Anak Saudara Azmin Ditahan SPRM

KUALA LUMPUR – Pejabat Menteri Besar Selangor mengesahkan penahanan salah seorang individu daripada empat lelaki yang direman berhubung dakwaan terlibat dalam aktiviti perlombongan pasir haram adalah anak saudara Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Pengarah Komunikasi Strategiknya, Yih Shao Loong berkata, pihaknya tidak mempersoalkan tanggungjawab pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan sebarang siasatan berhubung kes tersebut.

“Namun, dalam kes ini, kita kesal kerana pembocoran maklumat secara meluas melalui media sosial dan blogger UMNO sebelum penahanan tersebut dilakukan jelas menggambarkan wujudnya konspirasi jahat untuk memburukkan reputasi Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Selangor menjelang Pilihan Raya Umum ke-14.

“Bagaimanapun, sekiranya proses siasatan dijalankan secara profesional dan telus, pentadbiran ini mengalu-alukan siasatan yang mengikut lunas undang-undang tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak tertinggi yang berkepentingan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam pada itu beliau mengingatkan agar siasatan itu tidak digunakan sebagai alat untuk mengalihkan pandangan rakyat terhadap skandal rasuah dan amalan kleptokrasi berskala besar yang melibatkan pemimpin negara.

“Kerajaan Negeri Selangor tuntas berpegang kepada prinsip kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam semua proses perolehan Kerajaan bagi menjamin kepentingan rakyat dan Negeri Selangor,” ujarnya lagi.

Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini membenarkan SPRM mereman empat lelaki yang salah seorang daripadanya merupakan anak saudara menteri besar Selangor berhubung dakwaan terlibat melindungi kegiatan lombong pasir dan batu haram di Selangor.

Menerusi penahanan itu, akaun bernilai RM4 juta milik syarikat terlibat turut dibekukan kerana disyaki hasil bersekongkol dengan anak saudara Azmin Ali itu. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.