Mahathir Antara Individu Yang Bertanggungjawab Atas Kerugian RM31.5 Bilion – Laporan RCI

Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kerugian urus niaga mata wang asing Bank Negara Malaysia (BNM) pada awal 1990-an yang dijangka dibentang di Dewan rakyat hari ini menggesa siasatan dilakukan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad.

Selain bekas Perdana Menteri itu, beberapa individu lain yang dipercayai bertanggungjawab terhadap kerugian yang dialami BNM adalah bekas menteri kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kakitangan Bank Negara Malaysia (BNM).

Difahamkan, laporan RCI setebal kira-kira 400 halaman itu telah berada di meja ahli-ahli parlimen hari ini, iaitu hari terakhir sesi Dewan Rakyat namun masih belum diputuskan sama ada ia akan dibahaskan kerana ia tiada dalam Aturan Mesyuarat.

Memetik beberapa laporan media, laporan RCI itu juga mengesyorkan siasatan dijalankan terhadap ahli lembaga pengarah BNM, Jabatan Audit Negara dan Kementerian Kewangan.

“Suruhanjaya berpendapat daripada fakta yang diberikan kepada inkuiri terdapat asas untuk mencadangkan polis menjalankan siasatan rasmi terhadap kemungkinan berlakunya jenayah pecah amanah dan atau penipuan yang mungkin dilakukan oleh kakitangan BNM, ahli lembaga pengarah BNM, Jabatan Audit Negara, menteri kewangan dan perdana menteri dalam menjalankan urusniaga spekulasi forex dan menyembunyikan kerugian forex daripada pengetahuan Kabinet dan Parlimen,” kata laporan itu.

Laporan tersebut menyebut lagi Dr Mahathir mungkin memiliki lebih banyak maklumat berbanding daripada apa yang didakwa oleh bekas perdana menteri itu sebelum ini.

Selain itu, RCI telah memutuskan bahawa jumlah kerugian yang ditanggung oleh BNM dalam skandal tersebut adalah berjumlah RM31.5 bilion.

“Kesimpulan bahawa beliau menyedari kerugian sebenar adalah bukan tanpa merit,” kata RCI membuat kesimpulan bahawa Dr Mahathir bertanggungjawab terhadap kerugian tersebut.

“Walaupun beliau menafikan, suruhanjaya berpendapat bahawa siasatan menyeluruh perlu dijalankan bagi menentukan tahap penglibatan Dr Mahathir berhubung perkara tersebut,” tambah laporan itu.

Sementara bagi penglibatan Anwar pula, suruhanjaya berkata bekas menteri kewangan itu telah menyembunyikan fakta mengenai kerugian bank pusat dan mencadangkan penyiasat memohon siasatan mengikut Seksyen 417 dan 418 Kanun Keseksaan berkaitan penipuan.

“Kita tidak boleh mengelak fakta yang jelas bahawa (Anwar), sebagai menteri kewangan, adalah bertanggungjawab untuk mengelirukan (menipu) Kabinet dan Parlimen terhadap kerugian sebenar forex yang dihadapi BNM, ” kata suruhanjaya itu.

RCI yang dipengerusikan oleh Pengerusi Petronas Tan Sri Mohd Sidek Hassan ditubuhkan untuk menentukan kesahihan dakwaan kerugian itu disebabkan spekulasi pertukaran mata wang, sama ada aktiviti BNM dalam urus niaga forex bercanggah dengan Ordinan Bank Pusat 1958 atau undang-undang lain, dan sama ada wujud cubaan untuk menutup kerugian itu daripada pengetahuan umum.

Pada 13 Oktober lalu, laporan RCI dipersembahkan kepada Yang Di Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Seramai 25 saksi – termasuk Dr Mahathir, bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin – memberi keterangan pada pendengaran selama lapan hari.

Dr Mahathir pada perbicaraan September lalu mendakwa hanya mengetahui kerugian terhadap BNM selepas dimaklumkan oleh Anwar pada hujung 1993, iaitu melibatkan jumlah kira-kira RM5 bilion sahaja. – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.