Lulus Peruntukan 2015, Namun 57% Projek Kerajaan Negeri Selangor Belum Mula – Budiman

KUALA LUMPUR – Laporan Ketua Audit Negara menunjukkan hanya lapan peratus daripada  keseluruhan projek negeri Selangor bagi tahun 2016 telah berjaya disiapkan sekaligus menjadikannya paling rendah berbanding negeri lain.

Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi berkata peratusan tersebut adalah daripada  57 peratus projek yang diluluskan kerajaan negeri Selangor bagi tahun 2016 tetapi masih belum dimulakan dan ia merupakan jumlah  paling tinggi berbanding negeri lain.

“Bagi projek di bawah kerajaan negeri, adalah sesuatu yang mengejutkan apabila laporan tersebut mendedahkan sebanyak 57 peratus projek yang diluluskan kerajaan negeri Selangor bagi tahun 2016 masih belum dimulakan.

“Peruntukan bagi semua projek tahun 2016 telah diluluskan menerusi Belanjawan Negeri 2016 yang dibuat pada tahun 2015. Kini sudah hampir kepada penghujung tahun 2017.

“Selepas hampir dua tahun peruntukan diluluskan, laporan ini adalah jelas sesuatu yang begitu memalukan dan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali perlu menjelaskan perkara ini kepada rakyat negeri Selangor,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beberapa hari lalu, Jabatan Audit Negara telah mengeluarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2016 Siri 2 yang turut menyebut mengenai projek di negeri Selangor yang belum dimulakan sedangkan peruntukkan telah diluluskan.

Tambah Budiman yang merupakan ADUN Sungai Panjang itu berkata,  rakyat sering terlepas pandang tentang kepincangan yang dilaporkan dalam laporan tersebut terutamanya bagi negeri yang bukan di bawah Barisan Nasional (BN).

” Azmin selalu mendabik dada kononnya pentadbirannya telah membawa banyak kejayaan. Namun laporan yang dikeluarkan ini dengan jelas menunjukkan kepincangan ketara pentadbiran negeri di bawah beliau.

“Seringkali Laporan Ketua Audit Negara dijadikan bahan kempen pembangkang untuk menyerang Kerajaan Persekutuan terutamanya yang melibatkan projek yang gagal atau lambat disiapkan,” katanya. – Agendadaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.