Konsert Orkestra 30 Tahun Ella

SEMPENA ulang tahun ke-30 keberadaannya dalam industri, Ratu Rock negara Ella bakal tampil menerusi penganjuran sebuah konsert Ella – Live with the MPO: A Rock Queen’s Journey bekerjasama dengan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO).

Bukan sekadar persembahan biasa, buat Ella, 50, penganjuran konsert tersebut akan memberi seribu satu kelainan buat peminat memandangkan ia menjadi debutnya bersama pemuzik orkestra.

“Saya akui, inilah cabaran paling sukar yang disahut sepanjang 30 tahun berada dalam industri selama ini.

“Kebanyakan lagu saya bergenre rock, jadi kesukaran adalah pada bahagian mengubahnya menjadi muzik orkestra supaya ia sesuai dan mudah diterima peminat.

“Apa yang pasti, saya menjanjikan kelainan kepada peminat yang hadir nanti kerana susunan muzik akan menjadi lebih indah.

“Ia juga sebuah konsert yang sangat peribadi, bahkan nostalgik untuk dikenang,” kata Ella ketika ditemui pada sidang media konsert berkenaan baru-baru ini.

Pada persembahan tersebut, Ella akan menyampaikan sebanyak 16 buah lagu termasuk slot medley dengan gabungan lima buah lagu. Menurut Ella, dia mengambil masa selama setengah tahun untuk membuat senarai lagu yang bakal dinyanyikan.

Antara hit yang akan dipersembahkan pada malam tersebut adalah Pengemis Cinta, Pedih, Nuri, Rindu, Layar Impian, Bayangan, Kesal, Dua Insan Bercinta, Sembilu, Gemilang, Demi termasuk lagu baharunya, Ku Sedia.

Kesemua lagu tersebut mendapat sentuhan baharu daripada penggubah yang juga konduktor persembahan, Ahmad Muriz Che Rose, Jenny Chin, Luqman Aziz dan Leonard Yeap.

“Agak sukar sebenarnya untuk mencari lagu yang terbaik kerana tidak semua lagu yang sedap didengar dalam radio sesuai diubah mengikut format orkestra.

“Sebab itu saya dan pihak MPO mengambil masa selama enam bulan untuk mencari material terbaik sehingga ada yang terasa hati kerana lagu pilihan mereka tidak tersenarai,” cerita Ella sambil berseloroh.

Bakal diiringi seramai 90 orang pemuzik MPO, Ella menyatakan penghormatannya apabila memilih Ahmad Muriz sebagai konduktor yang bakal menerajui konsert berdurasi dua jam 20 minit tersebut.

“Sepatutnya konduktor yang akan memimpin persembahan pada malam itu nanti adalah seorang pemuzik dari Jepun tetapi saya ambil keputusan untuk guna kepakaran anak tempatan.

“Saya percaya beliau mampu memberi magis untuk persembahan itu nanti berdasarkan pengalaman yang dimiliki” katanya.

Sementara itu, Ahmad Muriz turut meluahkan keterujaannya terhadap kerjasama sulung MPO dengan Ella.

Penyatuan tersebut sekali gus menjadikan Ella sebagai artis wanita rock pertama yang melakar sejarah mengadakan persembahan solo secara penuh di pentas DFP.

“Kami sangat berbangga dan persembahan pada malam itu nanti akan menelusuri momen 30 tahun Ella dalam industri dengan untaian hitnya yang ditukar menjadi muzik simfoni,” katanya.

Konsert Ella – Live with the MPO: A Rock Queen’s Journey bakal berlangsung selama dua hari iaitu pada 2 dan 3 Disember ini bertempat di Dewan Filharmonik Petronas, KLCC, pukul 8.30 malam.

Tiket-tiket berharga RM380, RM270, RM210 dan RM150 boleh ditempah menerusi e-mel boxoffice@dfp.com.my.

Peminat juga boleh mengunjungi kaunter Box-Office DFP bermula Selasa hingga Sabtu ini dari pukul 10.30 pagi hingga 6.30 petang.-Kosmo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.