7 Gua Gunung Baling Dijadikan Hotel

BALING ― Tujuh buah gua di sekitar Gunung Baling di sini akan dibangunkan untuk perusahaan hotel atau inap desa.

Pegawai daerah Baling Datuk Md Shuhaime Abdul Rahman berkata projek itu adalah sebahagian daripada program pembangunan pelancong di daerah tersebut bagi tahun hadapan.

“Ini memberi peluang kepada pengunjung merasai pengalaman menginap di dalam gua. 

“Lebih menarik, konsep penginapan tersebut akan mempunyai tema yang tersendiri seperti mengikut nama atau bentuk gua,” katanya ketika ditemui pemberita di Taman Rekreasi Air Panas Ulu Legong di sini semalam.  

Antara gua yang bakal dibangunkan adalah Gua Kelamin, Gua Kristal, Gua Cermin, Gua Kambing, Gua Ikan, Gua Kelawar dan Gua Sirih.

Katanya, penginapan luar biasa ini bukan saja akan menarik pengunjung ke gua tersebut tetapi di kawasan sekitarnya.  

“Ada kawasan di luar gua yang sangat cantik untuk dijadikan lokasi penggambaran perkahwinan dan industri perfileman.

“Jadi secara tidak langsung ia akan memberi kesan domino kepada pembangunan pelancongan serta perniagaan lain di sini,” katanya, lapor Bernama.

Dalam pada itu, Md Shuhaime berpuas hati dengan tindakan pantas pengurusan Taman Rekreasi Air Panas Ulu Legong dalam menarik semula pengunjung ke situ selepas isu wabak rotavirus yang berlaku awal tahun ini.  

“Rancangan pemulihan mereka berjaya membuat pengunjung kembali yakin mengunjungi semula tempat ini dalam tempoh yang singkat,” katanya. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.