Gesa Kerajaan Beri Tekanan Terhadap Myanmar

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) bersama beberapa persatuan menggesa kerajaan mengambil langkah-langkah proaktif untuk memberi tekanan terhadap Myanmar yang bertindak kejam terhadap etnik Rohingya.

 

Dalam kenyataan hari ini, MHO bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Persatuan Penggerak Ekonomi Islam Malaysia (PEMA) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain mahu kerajaan memberi tekanan dari semua aspek antaranya mengetatkan pengeluaran pas lawatan sosial warganegara Myanmar yang masuk ke negara ini.

 

Selain itu, NGO berkenaan menggesa pembatalan pas kerja (pas dagang) dan pas lawatan kerja sementara kepada 143,623 warga Myanmar yang datang bekerja di negara ini, mengeluarkan Myanmar daripada 15 senarai negara sumber yang membekalkan pekerja asing di Malaysia serta memberikan pas kerja khas kepada warganegara Rohingya di Malaysia sepanjang situasi konflik berlaku.

 

“Kekejaman kerajaan Myanmar terhadap etnik Rohingya mestilah dinoktahkan dan semua pihak tidak kira badan kerajaan dan bukan kerajaan sepatutnya mengambil inisiatif segera dengan memboikot segala hubungan dengan Myanmar,” kata kenyataan itu. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.