Umno Kecewa Dengan Peguam Negara

Kuala Lumpur – Tan Sri Zainuddin Maidin kini boleh bersenang hati kerana kempennya untuk mengekalkan Akta Hasutan tidak sia-sia.

Namun, beliau tidak berpuas hati setakat itu sahaja. Orang kuat Tun Dr Mahathir Mohamad itu masih menjadikan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai sasaran kritikannya.

Zainuddin dalam tulisan di blognya, zamkata.blogspot.com mendakwa, Perhimpunan Agung Umno yang berakhir semalam umpama satu undi tidak percaya ke atas peguam negara dan juga satu amaran kepada Najib.

“Masalah yang dihadapi oleh kerajaan jika peguam negara disingkirkan maka bererti (wujud) campur tangan politik.

“Tetapi jika rakyat yang diberikan harapan tinggi oleh Najib dikecewakan oleh sikap peguam negara maka Najiblah yang akan tersungkur.

“Ramai orang berprasangka bahawa peguam negara juga berada di belakang pengumuman Najib untuk menghapuskan akta itu,” tulisnya.

Zainuddin berkata, kekecewaan ke atas kegagalan peguam negara menguatkuasa Akta Hasutan turut disuarakan oleh perdana menteri, menteri dalam negeri dan perwakilan Umno yang lain dalam persidangan itu.

Bekas editor Utusan Malaysia itu berkata beliau mengesan demikian melalui ucapan Najib yang menyeru peguam negara untuk bersikap dengan lebih tegas terhadap pihak yang melanggar undang-undang.

“Apakah erti semuanya ini? Seruan Najib itu disambut dengan tepuk sorak bergemuruh para perwakilan yang dapat difahamkan dengan mudah sebagai suatu luahan perasaan mereka terhadap kelemahan peguam negara yang telah berlaku sekian lama dan yang menampakkan tindakan yang takut untuk menghadapi kontroversi dan cabaran dari pihak pembangkang,” katanya.

Zainuddin, yang popular dengan nama Zam berkata, turut membangkitkan mengenai saranan Najib agar peguam negara lebih tegas dalam menguatkuasa Akta Hasutan.

Katanya, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut menerima tepukan yang gemuruh apabila menteri itu menggesa Pejabat Peguam Negara untuk membantu pihak polis dalam memastikan pendakwaan di bawah Akta Hasutan.

Malah, Zahid turut menyatakan bahawa pihak polis tidak boleh dipersalahkan kerana mereka hanya menyiasat dan menangkap.

“Ini adalah suatu pembelaan terhadap polis yang selalu disalahkan oleh pihak peguam negara kerana lemah dalam mengemukakan kes untuk pendakwaan,” kata bekas menteri itu lagi.

Khamis lalu, Najib mengumumkan bahawa Akta Hasutan akan dikekalkan walaupun sebelum ini ia dipertimbangkan untuk dimansuhkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.