Perhimpunan Agung UMNO Hanya Politik Kotor, Pupuk Kebencian – Kit Siang

Gelang Patah – Penasihat DAP Lim Kit Siang mendakwa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2014 sekadar petunjuk politik kotor yang memupuk ketakutan, kebencian dan pembohongan.

Memetik dari laporan Roketkini, jelasnya, tema PAU kali ini hanyalah untuk melahir pemikiran bahawa orang Melayu dan Islam kini diancam dan bakal memberi kesan buruk kepada pembina bangsa.

“Politik ketakutan, kebencian dan pembohongan dengan rutin menghentam orang bukan Melayu amat berbahaya kepada pembinaan negara.

“Malah mereka hanya memupuk mentaliti ‘terjajah’, tanpa membenarkan pemikiran rasional dan pertanyaan tentang mengapa selepas 57 UMNO memerintah, Melayu dan Islam masih diancam,” ujarnya.

Kit Siang mendakwa, selama lima dekat pemerintahan UMNO hanyalah memburukkan kedudukan Melayu dan Islam yang disifatkannya alasan terbaik rakyat menyingkirkan UMNO daripada menguasai Putrajaya.

Pada masa yang sama juga beliau berkata, PAU menjadi medan UMNO menghentam kaum lain, kononnya, apabila perwakilan Wanita UMNO Kedah Datuk Mashitah Ibrahim memfitnah komuniti Cina di Kuala Kedah membakar al-Quran.

Katanya, fitnah Mashitah adalah contoh terburuk pembohongan yang berlaku sepanjang perhimpunan itu.

“Lebih teruk, beliau tidak menunjukkan rasa kesal selepas diberitahu bahawa Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir sendiri menyatakan apa yang berlaku sebenarnya adalah individu Melayu kurang siuman mengoyak naskah al-Quran, bukan membakarnya,” ujarnya.

Sebelum ini pemimpin DAP telah membuat laporan polis supaya menyiasat Mashitah di bawah seksyen 298A dan seksyen 505 kanun keseksaan, namun dengan angkuhnya menyatakan bahawa beliau tidak gentar dengan tindakan DAP. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.