Jangan Ulangi Kesilapan Tun Mahathir

Kuala Lumpur – Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan semua perwakilan dan ahli parti itu supaya tidak mengulangi kesilapan yang dilakukan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahthir Mohamad suatu ketika dahulu.

“Saya masih ingat lagi beberapa kali Tun Mahathir dalam perhimpunan ini sebut mengapa dia kalah dahulu.

“Dia terangkan bahawa dalam pertandingan satu lawan satu kalau dicabut 3,000 undi daripada kita, diberi kepada pembangkang 3,000, defisitnya bukan 3,000 tetapi 6,000 ribu.

“Sebab itulah dia kata dia kalah kerana undi orang Melayu tidak cukup hendak ditampung.

“Masa itu dia terkeluar ayat bahawa dia tidak perlu kepada undi Cina, (sebab itu) dia kalah, itu satu pengajaran kepada dia,” kata Najib ketika menyampaikan ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2014 di Pusat dagangan Dunia Putra (PWTC), lewat petang Sabtu.

Kenyataan Dr Mahathir merujuk kepada Pilihan Raya Umum tahun 1969, di mana beliau tewas kepada calon PAS, Yusoff Rawa dengan majoriti 989 undi selepas membuat kenyataan bahawa beliau tidak memerlukan undi orang Cina untuk mempertahankan kerusinya.

Najib selanjutnya mengajak warga UMNO melihat semula sejarah mengapa mantan presiden parti itu, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Tun Abdul Razak Hussien menubuhkan parti Perikatan yang kemudiannya dinamakan Barisan Nasional (BN).

Ia adalah kerana walaupun Melayu adalah kaum majoriti di negara ini, UMNO masih memerlukan sokongan daripada kaum lain untuk memenangi pilihan raya, Najib menjelaskan.

“Tengok baru-baru ini di Pengkalan Kubor berapa banyak kita menang, tambah majoriti?

“Saya tanya undi orang Siam berapa? Dia kata 1,700 lebih. Kalau 1,700 pindah kepada PAS, tersungkur rebah kita.

“Orang Siam tidak ramai tetapi bila 1,700 pindah sebelah sana defisitnya 3,400, inilah yang dikata jangan menang sorak kampung tergadai,” kata Perdana Menteri itu.

Sehubungan itu Najib menegaskan adalah penting UMNO terus menjaga BN untuk terus berkuasa sebagai mengulas hujah daripada ramai perwakilan, termasuk dari ketiga-tiga sayap, yang mengecam kaum Cina yang merosot sokongannya kepada BN.

Malah ada yang seolah-olah angkuh mengatakan UMNO tidak perlu lagi berkerjasama dengan masyarakat Cina.

“Ada wakil kata, kita tidak perlu undi orang Cina. Pakailah akal sikit.

“Sebab itu penting bagi kita menjaga BN tetapi tidaklah sampai mengorbankan prinsip-prinsip yang dekat di hati orang Melayu.

“Bukan sahaja soal pilihan raya tetapi kita hendak membina sebuah negara Malaysia menjadi negara bangsa yang berjaya, ini hasrat kita,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.