Instagram Promosikan Didi, Jadikannya Lebih Popular

Petaling Jaya – Penyanyi remaja Didi Astillah mengakui laman sosial, Instagram banyak membantu mempromosikan dirinya sekaligus menjadikan dia dikenali ramai.

Menurut gadis berusia 18 tahun ini, sejak kembali aktif dalam dunia nyanyian meskipun belum banyak membuat kemunculan di khalayak ramai, tetapi dia sudah mempunyai pengikut tersendiri yang setia menyokong sejak bergelar finalis Idola Kecil 2008 dan Kamilah Bintang 2010.

Dengan menggunakan nama @didiastillah, pelantun lagu Fikirkan Kamu ini mempunyai 100,000 pengikut di Instagram.

“Walaupun saya bukan baru dalam dunia nyanyian tetapi saya mempunyai peminat saya dari dulu sehingga kini yang masih terus menyokong saya.

“Saya akui Instagram menjadi platform saya dikenali ramai. Selain mendapat kerjasama syarikat rakaman Warner Music yang bertanggungjawab untuk publisiti saya, Instagram juga adalah tempat untuk promosikan lagu serta berkongsi perkembangan aktiviti kerjaya seni saya,” katanya pemilik nama sebenar, Dayang Nazilah Awang Astillah yang ditemui pada majlis Pelancaran Album Debutnya, Didi Astillah di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Namun begitu, Didi menyatakan lumrah bergelar artis, dia tidak terlepas menerima kritikan daripada segelitir pengikut. Bagaimanapun, dia tidak melihat komen negatif tersebut sebagai satu isu besar sebaliknya mengambil kritikan dan peminat untuk memperbaiki kelemahan diri.

“Kalau muat naik gambar di Instagram, saya terima banyak komen yang bukan saja positif tapi juga negatif. Sebagai contoh, ada antara pengikut menegur cara saya berpakaian, lagu mahupun cara nyanyian.

“Saya tidak mengambil hati dengan komen negatif itu sebaliknya, saya cuba memperbaiki diri daripada teguran mereka,” katanya.

Didi juga menyedari sebagai artis perlu menjaga diri daripada dikaitkan dengan cerita yang tidak enak di dengar sekaligus boleh menjejaskan reputasi dan nama baiknya.

“Sebagai artis, saya faham apabila gerak geri sering menjadi perhatian. Sejak dari dahulu lagi saya bukan jenis gadis sosial dan jika mahu keluar, saya hanya bersama teman rapat saja.

“Saya selesa ibu sentiasa menemani saya ke mana saja kerana dia boleh menegur jika saya ada melakukan kesilapan,” ujarnya.

Dilahirkan di Sandakan Sabah dan membesar di Ampang, Didi mendapat bimbingan rapat daripada bapanya yang juga seorang ahli muzik dan sering terlibat dengan persembahan muzik bersama kakaknya.

Selain menyanyi, Didi juga pernah terlibat dengan bidang lakonan sewaktu dibangku sekolah sebelum ini tetapi minatnya cenderung terhadap muzik.

Walaupun bertubuh kecil, Didi mempunyai suara mantap dan unik sekaligus kelebihan itu membezakan dia dengan barisan artis seangkatan dengannya.

Menyentuh mengenai album, Didi memberitahu dia merakamkan album yang memuatkan sebanyak enam lagu pada Ramadan tahun lalu sebelum berehat untuk memberikan tumpuan kepada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Konsep Pop Dance menjadi pilihan penyanyi betubuh genit ini bersesuaian dengan usianya yang masih remaja selain genre muzik itu masih belum banyak dipelopor artis lain.

Album berkenaan turut mengabadikan lagu ciptaan komposer dan penulis lirik terkenal tanah air, LY bersama komposer dari seberang iaitu Posan. Kolaborasi antara dua komposer menghasilkan lagu bertemakan cinta dengan pelbagai mood, lantas menjadikan album Didi Astillah sebagai sebuah album warna warni dengan kisah cinta.

Album ini juga turut membuatkan sebuah lagu Inggeris berjudul I Love You So.

Buat masa ini, nyanyian menjadi fokus utamanya. Namun, Didi mempunyai perancangan mahu menyambung pengajian pada tahun hadapan dan berhasrat memilih pengajian seni persembahan.

“Ketika ini saya sibuk dengan promosi album dan ada beberapa aktiviti yang akan di susun atur Warner Music,” katanya.

– mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.