Firma Kewangan Malaysia Ada Peranan Di Rantau Teluk – Pakar

Oleh: Siti Radziah Hamzah

Kuala Lumpur – Firma perkhidmatan kewangan Malaysia mempunyai peluang yang sangat baik untuk memainkan peranan dalam pertumbuhan kewangan Islam di rantau Teluk, kata seorang pegawai kanan di Bank Pusat Bahrain.

Pengarah Direktorat Penyeliaan Institusi-institusi Kewangan di Bank Pusat Bahrain, Mohammed Ayman Al Tajer berkata peluang yang banyak di rantau Teluk didorong oleh keteguhan pertumbuhan ekonomi dan permintaan terhadap lebih banyak perkhidmatan kewangan sofistikated

“Sudah pasti sektor perbankan memainkan peranan dalam sebahagian besar peluang yang ada, namun peluang dalam bidang seperti insurans dan pengurusan dana juga bercambah pesat memandangkan sektor kewangan di Teluk terus berkembang,” katanya kepada Bernama dalam temu bual menerusi e-mel.

Terdapat 23 bank Islam dengan aset di bawah pengurusan berjumlah US$24.6 bilion setakat Julai 2013, selain tujuh syarikat insurans Islam (takaful dan takaful semula) beroperasi di wilayah kerajaan itu.

Negara tersebut mempunyai 41 dana patuh syariah yang diperbadankan tempatan, lebih 40 peratus daripada jumlah keseluruhan dana diperbadankan tempatan.

Beliau berkata industri kewangan Islam terus mencatat prestasi kukuh susulan pertumbuhan ekonomi yang teguh dengan memperkenalkan produk dan perkhidmatan baharu selain diterima baik oleh negara bukan Islam.

“Kemasukan ke pusat-pusat kewangan seperti London adalah bagus untuk kewangan Islam.

“Semakin besar industri semakin banyak manfaat diberikan, dan pengembangan sektor kewangan Islam London akan membuka peluang baharu bagi institusi Malaysia dan Bahrain,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata banyak perlu dilakukan untuk terus memperkukuh sektor kewangan Islam.

Katanya isu pemiawaian kekal menjadi cabaran utama industri selain kekurangan profesional dan sarjana serta kesedaran tentang kewangan Islam.

“Menerusi lonjakan piawaian dalam produk dan perkhidmatan, lagi mudah untuk menurunkan kos dalam industri dan merapatkan jurang perbezaan antara kewangan konvensional dan patuh syariah,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.