Bik Susantik Mirip Orang Kenamaan

Petaling Jaya – Pelakon dan pengacara Jihan Muse terkejut dengan dakwaan penampilan wataknya sebagai Bik Susantik dalam filem Rumah Pusaka Di Simpang Jalan dikatakan mirip seorang kenamaan.

Walaupun Bik Susantik itu dikatakan berasal dari negara seberang, Indonesia, penampilannya dengan rambut kembang yang dilitupi selendang ala datin dalam karya Mamat Khalid itu dikatakan menyerupai seorang pemimpin wanita negara.

Baginya, tidak terlintas langsung watak yang didukungnya menyerupai individu kenamaan yang dimaksudkan.

“Sejujurnya, sebagai pelakon, saya mendukung watak ini sebaiknya. Karakter tersebut sangat unik dan mempunyai tarikan tersendiri untuk menarik audiens ke pawagam menontonnya.

“Ketika ditawarkan berlakon, selepas membaca skrip yang diberikan, tidak terfikir langsung akan ada isu yang dibangkitkan seperti ini. Mungkin sekadar kebetulan yang tidak dirancang atau disengajakan,” jawab Jihan seperti yang dilaporkan Utusan.

Menurut Jihan, ketika di set penggambaran dan mengenakan kostum yang disediakan khas untuk watak itu, tiada seorang pun antara krew produksi menegur ia iras dengan sesiapa, apatah lagi seseorang yang dikenali.

Sementara itu, Mamat berkata setiap karya adalah sebuah filem cereka yang dihasilkan berdasarkan keadaan atau situasi sekeliling yang dekat dengan jiwa masyarakat setempat. Namun, watak-watak tersebut adalah sekadar rekaan semata-mata untuk menghiburkan penonton.

“Filem ini mengisahkan perihal pusaka yang diwarisi turun-temurun. Selalunya pusaka yang diwariskan berbentuk harta tetapi dalam filem ini, pusaka tersebut adalah saka. Justeru, disebabkan ia sebuah karya komedi dan suspen, pelbagai karakter dicipta untuk menambahkan kepelbagaian dari sudut plot penceritaan.

“Watak-watak tersebut adalah sekadar rekaan semata-mata untuk menghiburkan penonton, tidak ada kaitan dengan sesiapa yang hidup di muka bumi ini. Jadi, sekali gus tiada niat untuk menyinggung sesiapa. Kalau ada yang sama, ia tidak disengajakan,” jelas pengarah itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.