Akta Hasutan Bertujuan Lindungi Sensitiviti Semua Kaum, Rakyat Malaysia

Kuala Lumpur – Tidak ada motif tersembunyi di sebalik langkah mengekalkan Akta Hasutan 1948, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata akta itu bertujuan melindungi sensitiviti semua rakyat Malaysia.

Beliau seterusnya menegaskan, usaha mengekalkan akta itu bukan tentang melindungi hak-hak orang Islam dan Melayu sahaja  tetapi juga bagi orang bukan Islam dan masyarakat bukan Melayu, lapor BERNAMA.

“Saya ingin menjelaskan bahawa perbuatan itu adalah satu perlindungan untuk semua rakyat Malaysia, ia adalah satu bentuk  perlindungan bagi kontrak sosial kita yang begitu dihargai yang terkandung dalam perlembagaan kita.

“Kita perlu memastikan bahawa penguatkuasaan Akta Hasutan perlu dilihat sebagai adil,” katanya ketika merasmikan  perhimpunan agung tahunan ke-61 Parti Progresif Rakyat (PPP) di sini hari ini.

Najib menekankan bahawa tindakan sewajarnya akan diambil terhadap mereka yang tidak menghormati anutan kepercayaan orang lain.

Beliau berkata adalah penting untuk mengekalkan Akta Hasutan bagi mengelak konflik dan pertelingkahan antara pelbagai kaum dan kumpulan agama di negara ini.

Pada Khamis, Najib, yang juga Presiden Umno, mengumumkan pada perhimpunan Agung Umno 2014 bahawa Akta Hasutan dikekalkan dengan cadangan pindaan untuk memasukkan dua peruntukan khas bagi menguatkan dan memperkukuhkannya agar relevan dengan perkembangan zaman.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.