Akta Hasutan Adalah Untuk Melindungi Rakyat Malaysia – Najib

Kuala Lumpur – Langkah untuk mengekalkan Akta Hasutan 1948 dibuat bagi melindungi sensitiviti semua rakyat Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan menyatakan tidak ada motif tersembunyi di sebalik usaha itu.

Beliau berkata usaha mengekalkan akta itu bukan tentang melindungi hak-hak orang Islam dan Melayu sahaja tetapi juga bagi orang bukan Islam dan masyarakat bukan Melayu.

“Saya ingin menjelaskan bahawa perbuatan itu adalah satu perlindungan untuk semua rakyat Malaysia, ia adalah satu bentuk perlindungan bagi kontrak sosial kita yang begitu dihargai yang terkandung dalam perlembagaan kita.

“Kita perlu memastikan bahawa penguatkuasaan Akta Hasutan perlu dilihat sebagai adil,” katanya ketika merasmikan perhimpunan agung tahunan ke-61 Parti Progresif Rakyat (PPP) di sini Ahad.

Najib menekankan bahawa tindakan sewajarnya akan diambil terhadap mereka yang tidak menghormati anutan kepercayaan orang lain.

Turut hadir Presiden PPP Tan Sri M. Kayveas, naib presiden kanan Datuk Maglin Dennis D’Cruz dan pemimpin parti komponen Barisan Nasional yang lain.

Najib memberitahu audiens bahawa survival BN terletak di tangan rakyat Malaysia.

“Akta ini tidak boleh memastikan Barisan Nasional dipilih semula pada pilihan raya akan datang. Hanya kehendak dan sokongan rakyat boleh memastikan bahawa BN kekal berkuasa,” katanya.

Pada Khamis, Najib, yang juga Presiden Umno, mengumumkan pada Perhimpunan Agung Umno 2014 bahawa Akta Hasutan dikekalkan dengan cadangan pindaan untuk memasukkan dua peruntukan khas bagi menguatkan dan memperkukuhkannya agar relevan dengan perkembangan zaman.

Pada majlis hari ini, beliau berkata adalah penting untuk mengekalkan Akta Hasutan bagi mengelak konflik dan pertelingkahan antara pelbagai kaum dan kumpulan agama di negara ini.

“Seperti yang anda tahu, malah negara-negara maju tidak kebal kepada ketegangan kaum dan agama,” katanya, merujuk kepada rusuhan kaum di London beberapa tahun lalu dan gangguan awam sejak beberapa hari lepas berpunca kejadian seorang remaja berkulit hitam yang tidak bersenjata ditembak mati di bandar Ferguson, Missouri.

Beliau mengingatkan bahawa masalah yang sama boleh berlaku di Malaysia dan jika perkara itu berlaku, apa yang telah dibina sejak negara mencapai kemerdekaan akan musnah dalam sekelip mata. “Kita tidak boleh membiarkan kejadian itu berlaku di sini,” kata Najib.

Sementara itu, Najib yang juga presiden BN menggariskan kesederhanaan, keseimbangan, kecemerlangan dan keadilan sosial sebagai empat teras yang perlu diterapkan sebagai usaha penyatuan dalam kalangan parti komponen BN khususnya dan rakyat amnya.

“Kesederhanaan bermaksud kita mesti berusaha mencapai kecemerlangan dan dalam masa yang sama kita mesti memastikan bahawa dasar-dasar kita adalah inklusif kepada semua rakyat Malaysia,” katanya.

Terdahulu, Kayveas dalam ucapan dasarnya melahirkan sokongan penuh terhadap keputusan Najib untuk mengekalkan Akta Hasutan yang menurutnya mampu menjamin keamanaan negara dan perpaduan antara kaum di Malaysia.

Perhimpunan sehari itu dihadiri 3,000 perwakilan PPP dan pemerhati dari seluruh negara.

Perwakilan akan memilih enam calon bagi jawatan Naib Presiden dan 20 Anggota Majlis Tertinggi PPP yang mana keputusannya dijangka diumumkan lewat petang Ahad.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.