Ahmad Idham Kesal, Status Twitter Disalahertikan

Petaling Jaya – Penerbit dan pengarah filem terkenal, Ahmad Idham Ahmad Nadzri menegaskan status dimuat naik menerusi laman sosial, Twitter miliknya semalam sekadar pandangan peribadi sekaligus meluahkan rasa kesal terhadap peranan pihak bertanggungjawab dalam membangunkan industri perfileman Melayu.

Ahmad Idham, 40, ketika dihubungi Malaysian Digest berkata, dia bukan mengkritik sebuah filem tempatan terbaru yang didakwa memperlekehkan masyarakat Melayu sebaliknya, mahu sesuatu tindakan perlu dilakukan merujuk pada elemen sensiviti masyarakat di negara ini terhadap pembikinan filem.

“Pertama sekali, saya tidak sebut pun nama mana-mana filem dan saya tidak bercakap mengenai satu filem sahaja.

“Banyak filem lain yang kita tahu dan apa yang saya nyatakan itu adalah pandangan peribadi. Saya merujuk kepada senario industri perfileman kita sekarang bertitik tolak daripada beberapa tahun kebelakangan ini.

“Saya sedikit terkejut apabila penekanan terhadap sensitiviti dalam filem semakin nipis. Wujud kekesalan dalam diri dan saya tertanya konspirasi yang sedang berlaku dalam industri kita ini,” jelas pengarah yang pernah meraih kutipan pecah panggung menerusi filem Mael Lambong dan Gangster Celop.

“Filem itu macam memperlekehkan Melayu je… hmmmm, lepas pula utk tayangan. Konspirasi apakah yang sedang berlaku ini..,” status yang dimuat naik menerusi Twitter miliknya, semalam.

Status tersebut turut mecuri perhatian Budicitawan iaitu anak salah seorang pelakon filem kontroversi, Lelaki Harapan Dunia membidas kembali komen berkenaan.

Ahmad Idham berkata, dia tidak mempunyai masalah dengan komen individu terbabit kerana tujuannya bukan mengecam atau mengkritik sebaliknya, menganggap status itu sekadar pandangan peribadi dan tetap menghormati pandangan itu.

Sementara itu, pemilik Ahmad Idham Film Academy (AIFA) menyeru semua pihak yang terlibat dalam indusri perfileman sepatutnya mencari jalan untuk mengembalikan semula kepercayaan penonton hari ini untuk kembali ke pawagam.

Baginya, jalan penyelesaian itu masih kabur sebaliknya, timbul pula isu yang lebih menyalahkan antara satu sama lain.

“Semua orang tahu sambutan filem kita di tahap meruncingkan sekarang. Penonton mahukan sesuatu yang lebih baik, lebih bagus dan lebih segar tetapi kita bukan menjurus kepada mencari solusi sebaliknya, seolah menyalahkan penerbit, pembikin filem, penulis skrip dan pelakon.

“Kita masih duduk dalam kepompong di mana mudah menyalahkan orang. Panggung dengan konspirasinya, penerbit dengan perjuangan mereka, pelakon pula sudah cuba yang terbaik dan kementerian dengan ideologi mereka.

“Kita sering bercakap mahu memartabatkan perfileman Melayu tetapi cuba kalau seorang produser atau pembikin filem Melayu menghasilkan satu filem yang sensitif dan sensitivi itu akan menjadi tebal.

“Berbeza apabila produser bukan Melayu menghasilkan filem sensitif tetapi sensitiviti itu menjadi nipis pula. Itu yang membuatkan saya bingung dan apa yang kementerian cuba buktikan? Apakah kita mahu memperbodohkan industri filem kita sendiri atau ke mana hala tuju sebenar perfileman kita?,” katanya.

Sebagai penggiat seni yang berpengalaman 15 tahun berkecimpung dalam industri filem tempatan, dia bukan saja menyuarakan kebimbangan tetapi mempunyai rasa tanggungjawab membangunkan semula kegemilangan filem Melayu.

“Saya sudah lama menyumbang dalam industri malah, menjadi mangsa. Ada orang kata saya tidak boleh terima kritikan tetapi jika pengkritik itu tidak cukup ilmu tentang apa yang diperkatakan berbanding orang berilmu, saya akan ambil kritikan itu dan perbaiki kelemahan saya.

“Selama ini saya sudah melalui pelbagai cabaran. Malah, filem saya selama ini ada berjaya dan kurang termasuk dipuji, dikritik bahkan pernah berdepan isu sensitiviti. Saya pernah dipanggil semula dan diarahkan mengeluarkan babak yang didakwa mencetuskan sensitiviti.

“Saya menunggu juga jika ada produser lain mahu menyuarakan pandangan sepertimana apa yang saya rasakan ini. Saya tahu mereka juga punya pendapat dan pandangan mengenai keadaan ini tetapi nampaknya ramai yang ‘play safe’, jadi saya mmenyuarakan dulu di laman sosial,” katanya.

– mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.