900 bekas komunis terus gesa kerajaan benar abu Chin Peng dibawa pulang

Kuala Lumpur – Majlis diskusi dan makan malam di Dewan Orang Ramai Chai Leng Park, di Perai yang dikaitkan dengan kain rentang memaparkan wajah Chin Peng, bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) yang diharamkan di negara ini rupanya memang wujud.

Di sebalik keresahan orang ramai yang khuatir ada usaha mengembangkan semula ideologi komunis di negara ini, laporan polis yang dibuat oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta penafian jawatankuasa dewan orang ramai itu kononnya tiada tempahan untuk menggunakan dewan pada malam 29 Nov, tidak memberi kesan kerana majlis itu memang berlangsung pada Sabtu malam.

Dianjurkan oleh persatuan Setiakawan Malaysia Abad ke-21 dan dihadiri kira-kira 900 orang, apa yang terhasil adalah satu kenyataan menggesa Putrajaya membenarkan abu mendiang ketua PKM itu dibawa pulang ke tanah air, sempena menyambut ulangtahun ke-25 tamatnya pemberontakan komunis.

Pengerusinnya Lee Huck Tee berkata, kerajaan perlu menghormati Perjanjian Perdamaian Hatyai yang ditandatangani dengan PKM pada 2 Dis 1989 dan kerajaan Thailand yang antara syaratnya ialah kerajaan perlu memberi keizinan jika ada ahli PKM yang berasal dari Malaya mahu pulang ke Malaysia.

“Tidak membenarkan abu (Chin Peng) berkenaan kembali ke tanah air merupakan satu perkara yang tidak boleh ditolak ansur oleh undang-undang keadilan sejagat,” katanya ketika berucap di majlis yang dinamakan sambutan ulang tahun ke-25 Perjanjian Hatyai, Sabtu malam.

Lee tanpa berselindung turut menegaskan bahawa satu daripada sebab utama pihaknya menganjurkan majlis itu adalah bagi menggesa semua pihak, termasuk Putrajaya menghormati perjanjian berkenaan dan menentang apa yang didakwa beliau “kezaliman konspirasi politik yang tidak adil”.

“Sebab kedua adalah untuk menggesa semua pihak yang menandatangani perjanjian ini, iaitu kerajaan Malaysia mematuhi syarat, memenuhi janji, mendengar suara rakyat dan membenarkan abu Chin Peng di bawa balik ke tanah kelahirannya,” tegasnya seperti yang dilaporkan portal berita The Malaysian Insiders (TMI).

Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua menyertai komunis ketika berusia 16 tahun dan berjuang bersama British menentang Jepun dalam Perang Dunia ke-2.

Persatuan itu menganggap Chin Peng sebagai ‘pejuang antipenjajah’, kerana selepas Jepun kalah dan berundur, beliau ‘berjuang’ pula menentang penjajahan British dalam cubaan mewujudkan negara komunis di Malaya.

Namun beliau masih meneruskan usaha itu walaupun selepas negara mencapai kemerdekaan pada 1957.

Pada 28 Nov lalu, The Rakyat Post melaporkan mengenai kain rentang yang dicetak wajah dan petikan kata-kata mendiang Chin Peng “Saya yakin penuh bahawa api perjuangan demi keadilan sosial dan perikemanusiaan tidak akan padam” serta gambar tiga pemimpin Pakatan Rakyat (PR).

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Pertubuhan Peribumi Perkasa (PERKASA) dan Pertubuhan Kebajikan Dakwah Islamiah (PEKIDA) yang kurang senang tampil membuat laporan polis.

Manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR Sberang Jaya, yang juga Exco kerajaan negeri, Dr Afif Bahardin ketika dihubungi turut berharap polis menyiasat perkara itu, kerana gambar beliau serta dua lagi pemimpin Pakatan Rakyat (PR) terpampang pada kain rentang itu.

Pembantu Dr Afif, Fathilullail Jaafar Sidek, turut membuat laporan polis sehari sebelumnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.