Malaysia Boleh Jadi Negara Usang dan Tak Berpenghuni – Menteri

KUALA LUMPUR – Malaysia berpotensi menjadi negara usang dan tidak ‘berpenghuni’ jika isu lambakan rumah yang tidak terjual, tidak diselesaikan segera.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, berkata, keadaan itu menggusarkan kerajaan apatah lagi sehingga kini, kira-kira RM100 bilion nilai rumah yang tidak terjual direkodkan.

“Jadi, menyedari masalah itu, banyak usaha sudah kita lakukan termasuk menerusi Kempen Pemilikan Rumah (HOC).

“Sebanyak kira-kira 21,000 unit rumah bernilai RM13.44 bilion berjaya dijual di bawah HOC yang mula dilaksanakan 1 Januari lalu,” katanya menjawab soalan tambahan Steven Choong Shiau Yoon (PK PKR-Tebrau) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Berita berkaitan;

Justeru, kata beliau, kerajaan sudah melanjutkan tarikh akhir kempen ini sehingga 31 Disember depan, bagi memberi peluang rakyat memiliki rumah dengan diskaun dan pengecualian khas diberikan kerajaan.

Menjawab soalan tambahan Tan Sri Annuar Musa (BN UMNO-Ketereh) berkenaan pemilikan rumah warga asing, Zuraida berkata, sejak Januari hingga Jun lalu, jumlah pemilikan rumah warga asing amat rendah iaitu 398 orang atau 0.4 peratus, berbanding pemilikan rakyat tempatan iaitu 99,524 orang 99.6 peratus.

“Secara keseluruhan, transaksi ini menunjukkan pasaran hartanah kediaman bagi warga asing masih terkawal,” katanya.

Beliau berkata, belum ada kajian menyeluruh berkait isu lambakan rumah mewah yang akan dijual kepada warga asing, memandangkan syarat pemilikan itu juga masih tertakluk kepada kuasa kerajaan negeri.

Beliau berkata, setiap negeri menetapkan nilai minimum hartanah berbeza untuk pemilikan warga asing antara RM1 juta hingga RM2 juta.

“Satu data menyeluruh akan diketengahkan supaya kita dapat membuat penilaian lebih tepat termasuk dari segi lokasinya. Sekarang, kerajaan negeri hanya menetapkan dasar 30 peratus pembinaan mesti ada rumah mampu milik.

“Tetapi ia tidak mengambil perkiraan penjualan rumah harga tinggi dan rendah. Jadi, perlu data bersepadu supaya pada masa akan datang kita dapat atasi masalah rumah ini,” katanya.

Belanjawan 2020 dibentangkan di Dewan Rakyat sebelum ini menggariskan cadangan penurunan harga minimum bagi hartanah untuk warga asing daripada RM1 juta kepada RM600,000, bagi mengatasi lambakan rumah tidak terjual.

Lain-lain berita;

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.