VIDEO: Cuti Anggota Pasukan Keselamatan Dibekukan -Wan Azizah

PUTRAJAYA – Cuti semua anggota penyelamat dan pasukan pengurusan bencana akan dibekukan bermula Nov hingga Dis sebagai persediaan menghadapi musim banjir.

Menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, tahap kesiapsiagaan perlu dipandang serius oleh semua pihak termasuk agensi yang menggunakan dan menggerakkan aset.

Katanya antara agensi yang terlibat termasuklah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

“Monsun timur laut telah bermula sejak 27 Okt dan dijangka berlarutan hingga Mac 2019 dan beberapa episod hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Johor, Sabah dan Sarawak, selain fenomena air pasang besar.

“Sekiranya hujan lebat berterusan berlaku serentak dengan air pasang besar, risiko banjir dan bencana-bencana lain akan bertambah buruk,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pengurusan Bencana Pusat (JKTPBP) di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya hari ini.

Menurut Dr Wan Azizah pada Sabtu lalu kerajaan mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan pada peringkat waspada (kuning) untuk Kelantan dan Terengganu bagi tempoh pada 29 Okt hingga 1 Nov.

Tambah beliau lagi, arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) 20 akan diguna pakai semasa mengurus bencana, manakala pos kawalan tempat kejadian (PKTK) dan pos kawalan operasi bencana (PKOB) akan diaktifkan.

Selain itu katanya peruntukan RM1.77 juta diluluskan dan sedang diagihkan ke seluruh negara bagi perbelanjaan sekretariat jawatankuasa pengurusan bencana di peringkat negeri (JBPN) dan daerah (JPBD).

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan mengatur gerak 5,448 pusat pemindahan banjir seluruh negara bagi menampung kapasiti 1.65 juta mangsa.

“Seramai 6,499 pegawai, 186 kaunselor, 839 pasukan penyokong psikologi (PST) dan 5620 sukarelawan JKM perlu digerakkan.

“Sejumlah lima depoh simpanan, 165 stor bencana dan 581 pangkalan hadapan hendaklah sedia berkhidmat, termasuklah membuat penambahan stok.

“Jabatan perkhidmatan veterinar juga akan bersiap siaga bagi kerja-kerja pemindahan haiwan semasa banjir,” tambahnya lagi.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, untuk musim monsun kali ini dijangka empat hingga enam episod hujan lebat akan berlaku di Kelantan dan utara Terengganu pada Nov, diikuti Dis di selatan Terengganu, Pahang dan Johor serta Januari di Sarawak dan Sabah.

Dr Wan Azizah yang juga merupakan Pengerusi JKTPBP memaklumkan orang ramai boleh mengunjungi laman www.mets.gov.my untuk mendapatkan maklumat lanjut, atau memuat turun aplikasi mycuaca di telefon pintar masing-masing. -Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.