“Saya Tidak Akan Keluar Parti,” Tegas Hishammuddin

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan beliau tidak akan ‘melompat’ keluar daripada UMNO.

Penegasan itu sekaligus menolak spekulasi bahawa beliau merupakan salah seorang daripada 40 wakil rakyat UMNO yang bakal mengikuti jejak Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed menyertai PPBM.

“Saya tegaskan sekali lagi saya tidak akan keluar parti,” katanya dipetik Malaysiakini. 

“Setiap wakil rakyat ada maruah mereka,” katanya lagi.

Sementara itu, di laman Twitter sebentar tadi, Hishammuddin turut memuat naik sekeping gambar menunjukkan beliau dan enam lagi wakil rakyat UMNO-BN dengan kapsyen ringkas “40-7”, seolah memberi gambaran ketujuh-tujuh wakil rakyat itu terkecuali daripada senarai yang akan menyertai PPBM.

Antara yang ada bersama Hishammuddin di dalam gambar tersebut adalah Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Azeez Rahim; Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M Saravanan; Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahya; Ahli Parlimen Jempol, Datuk Salim Sharif dan Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris.

Ahli Majlis Tertinggi PPBM Datuk A. Kadir Jasin baru-baru ini mendakwa kira-kira 40 Ahli Parlimen daripada UMNO akan keluar parti dan menyertai parti pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad itu.

Dakwanya, ada antara mereka telah beberapa kali berjumpa Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin serta kepimpinan tertinggi parti secara berkumpulan atau perseorangan membincangkan perkara itu. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.