Dalam hantaran di Facebook,  Dr. Maszlee menegaskan jika duit rakyat tidak digunakan untuk membeli barangan berjenama Bijan, beg tangan berjenama Hermes dan segala cincin berlian kepada isteri dan keluarga, pendidikan percuma boleh dikecapi hari ini.

Dr. Maszlee juga mendakwa RM42 bilion yang ‘ditelan’ 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) boleh menampung kos pendidikan percuma berkualiti dari peringkat tadika hingga universiti peringkat ijazah pertama beserta makanan dan pengangkutan percuma kepada semua pelajar untuk empat tahun.

“RM2.6 bilion boleh selesaikan isu sekolah daif di Sabah dan Sarawak dan boleh selesaikan masalah bekalan elektrik di sekolah-sekolah pedalaman.

“Kalau kita tak guna duit rakyat untuk membeli Bijan, beg tangan Hermes dan segala cincin berlian kepada isteri dan keluarga, pendidikan percuma hari ini boleh kita kecapi,” kata  Dr. Maszlee yang turut berkonsi keratan laporan berita bertajuk Najib sindir Maszlee isu pendidikan ‘hampir percuma’.

Najib semalam menyindir Dr. Maszlee yang cuba mengambil kredit kerajaan terdahulu yang memperkenalkan pendidikan di negara ini hampir percuma.

Najib merujuk kenyataan Maszlee di Parlimen semalam  yang menyifatkan pendidikan di Malaysia hampir percuma dan kerajaan akan mengekalkan yuran universiti.

Najib berkata, kerajaan terdahulu telah pun melaksanakan pendidikan percuma untuk peringkat rendah dan menengah. Malah, jelas Najib pengajian tinggi juga hampir percuma apabila pelajar hanya perlu membayar 10 peratus daripada kos operasi.

Dalam manifesto Buku Harapan, antara janji yang dinyatakan oleh Pakatan Harapan adalah memberikan peluang pendidikan berkualiti yang percuma dan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku).

Setakat ini, janji berkenaan masih belum dilaksanakan namun janji untuk meringankan beban peminjam PTPTN melalui penstrukturan semula syarat pembayaran sudah dilakukan. – UTUSAN ONLINE